PORT DICKSON – Tekad untuk menghadiahkan keputusan cemerlang bagi membalas jasa ibu dan bapanya yang berniaga laksa serta menjual pisang goreng akhirnya tercapai apabila berjaya meraih 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kelmarin.
Lebih manis, Fakhrul Iman Zainudin, 18, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang di sini dan merupakan seorang hafiz sejak tingkatan tiga turut dinobatkan pelajar cemerlang sekolah.
Kejayaan dirangkul anak ketiga daripada empat beradik itu mendapat perhatian ramai apabila video dia bersandar di bahu bapanya, Zainudin Abdul Latif, 63, ketika mengambil keputusan SPM kelmarin tular.
Menurut Fakhrul Iman, video berkenaan seolah-olah mengimbau kembali segala susah payah bapanya yang bertungkus-lumus menjual laksa serta pisang goreng di tepi jalan Batu 9, di sini, sejak 22 tahun lalu.
“Saya tak tahu akan dapat keputusan cemerlang macam ni tapi saya memang nak balas budi mak, Zarina Sood, 54, serta ayah yang sanggup bersusah payah mencari rezeki buat kami sekeluarga.
“Saya memang mahu kedua-duanya teman ambil keputusan, namun, mak tak dapat sebab buat persiapan meniaga waktu petang. Bila ayah teman dan keputusannya sangat cemerlang, saya tak dapat nak tahan rasa sebak serta bersandar pada ayah,” katanya di sini semalam.
Fakhrul Iman berjaya mendapat kesemua A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Perakaunan, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz Al-Quran dan Maharat al-Quran.
Bercerita lanjut, Fakhrul Iman berkata, dia bercita-cita melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dan menjadi pensyarah.
“Bersyukur sangat, terima kasih doakan saya, doa-doa anda semua akan menjadi pembakar semangat saya berjuang ke depan lagi. Ayah pun sudah tua, 63 tahun, kalau boleh saya tak mahu bebankan mak dan ayah,” luahnya.
Sementara itu, Fakhrul Iman memberitahu, dia sangat menghargai dua tawaran biasiswa diterima setakat ini kerana ia dapat mengurangkan beban ibu dan bapanya sekiranya dapat meneruskan pengajian.
Berkongsi kisah kejayaannya, dia berkata, perkara paling penting yang diamalkan ialah adab dengan guru.
“Semasa cikgu ajar di depan, jangan berbual di belakang,” ujarnya.
Fakhrul Iman berkata, keputusan cemerlang tidak membataskannya untuk terus membantu bapanya berniaga laksa dan pisang goreng.
Sementara itu, Zainudin berkata, perasaannya bercampur baru selepas mendapati anaknya mendapat A+ dalam kesemua mata pelajaran kerana ia berbeza ketika peperiksaan percubaan.
“Itu yang saya bangga serta sebak lihat keputusan Ayoi (Fakhrul Iman). Ikutkan, sejak dari kecil lagi, Ayoi ni memang cepat belajar seawal usia empat tahun. Kalau di tadika pun, guru selalu minta Ayoi bantu rakan-rakan seusia belajar,” katanya.
Terdahulu tiga beranak itu menerima penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli berupa wang RM500.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan pihaknya bersedia untuk membantu Fakhrul Iman meneruskan pengajian di peringkat tinggi.
“Saya mencadangkannya untuk program khas pembiayaan pelajar cemerlang ke luar negara atau universiti terkemuka dalam negara dengan pembiayaan penuh Mara,”katanya.














