SEGAMAT – Kontraktor ladang di seluruh negara berdepan situasi bakal ‘gulung tikar’ susulan kenaikan harga diesel kesan daripada konflik di Asia Barat.
Pengerusi Pertubuhan Pemborong Ladang Malaysia, Datuk Lee Cheng Chuan berkata, pihak kontraktor berdepan kesukaran kerana tidak menerima subsidi kerajaan dan harga diesel sepenuhnya bergantung dengan pasaran antarabangsa.
Jelasnya, kesan ketegangan di Asia Barat telah menyebabkan harga diesel untuk industri di negara ini melonjak hampir 139 peratus dalam tempoh hanya tiga minggu.
“Kenaikan mendadak ini mengakibatkan kos operasi kontraktor ladang meningkat secara ketara hingga sukar ditanggung, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya gelombang penutupan perniagaan dalam industri tersebut.
“Perbezaan harga diesel amat ketara, contohnya pada 28 Februari lalu harganya RM2.85 seliter dan kini melonjak antara RM6.40 hingga RM6.80 seliter.
“Kontraktor amat bergantung kepada penggunaan jentera berat yang memerlukan jumlah bahan api yang tinggi,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pengurus Felda Palong 7, Mohamad Hafiz dan
Pengurus Felda Plantation Management (FPM), Azwan Ariaf di Felda Palong, di sini kelmarin.
Ujarnya, tanpa subsidi, tekanan kos semakin meningkat dan sebahagian pengusaha sudah tidak mampu membeli diesel, lalu terpaksa menghentikan operasi.
“Kebanyakan projek dimulakan pada awal tahun ini dan kini sudah melebihi separuh kemajuan. Kenaikan harga diesel secara mendadak menyebabkan kontraktor sukar menyiapkan projek mengikut kontrak, malah berdepan masalah aliran tunai serta risiko jentera disita oleh pihak bank.
“Pekebun kecil di bawah Felcra Berhad, Felda dan Risda akan terkesan kerana kerja penanaman semula dan pembangunan banyak bergantung kepada kontraktor,” kongsinya.
Lazimnya, pokok kelapa sawit boleh dituai dalam tempoh kira-kira tiga tahun tetapi akibat kelewatan projek, tempoh tuaian dijangka berlanjutan sehingga setahun lagi.
Ujar Cheng Chuan, ketika ini, harga diesel runcit di Thailand adalah sekitar RM3.65 seliter, di China sekitar RM4.00 seliter manakala di Malaysia mencecah RM5.52 seliter.
“Mengapa negara kita sebagai pengeluar minyak mempunyai harga lebih tinggi berbanding negara bukan pengeluar? Mengapa kerajaan tidak dapat menyediakan bantuan kepada kontraktor ladang.
“Kebanyakan kontraktor kini berada dalam keadaan tertekan dan berjuang untuk bertahan, malah berdepan risiko gulung tikar.
“Saya menggesa kerajaan agar memandang serius kesan yang ditanggung oleh kontraktor ladang dalam situasi ini dan segera menyediakan bantuan yang sewajarnya bagi membantu industri mengharungi kesukaran ini,” tambahnya.














