fbpx
PARAS air Tasik Beris di Sik susut sehingga 100 meter dari tebing asal di beberapa lokasi akibat cuaca panas berpanjangan. – SHAHIR NOORDIN

Tebing Tasik Beris ‘timbul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – Paras air Tasik Beris yang merupakan kawasan takungan Empangan Beris, di sini semakin menyusut ekoran musim panas berpanjangan sejak lebih tiga bulan lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati, banyak kawasan di tebing Tasik Beris kelihatan makin timbul apabila paras air surut sehingga 100 meter, manakala jambatan di situ turut menampakkan paras air asalnya.

Pengusaha Rakit House Cafe, Mat Idris Semorah, 61, berkata, penyusutan air tasik sedikit sebanyak menjejaskan operasi perniagaannya yang bergantung kepada konsep makan atas air.

“Buat masa ini, pelanggan tidak dapat makan di atas rakit kerana kedudukannya yang jauh dari kafe disebabkan air surut.

“Sebelum ini, rakit boleh ditarik berhampiran kafe memudahkan penghantaran makanan, namun kini agak sukar menyebabkan makan atas rakit tidak dapat ditawarkan buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

MAT IDRIS berdiri di depan kafe rakitnya yang terjejas operasi berikutan kemarau sejak lebih tiga bulan lalu.

Ujar Mat Idris, pihaknya bagaimanapun boleh mempertimbangkan makan di atas rakit jika ada tempahan awal.

“Keadaan ini sedikit menjejaskan perniagaan kerana rata-rata pelanggan mahu pengalaman makan atas rakit. Mereka datang nak rasa makan atas air, suasana tenang tetapi bila air surut, pe­ngalaman itu kurang menyeronokkan,” jelasnya.

Seorang pekerja Restoran Terapung Seri Ternas, Zamri Che Ani pula berkata, bekalan air dari Empangan Beris adalah untuk kegunaan pengairan pertanian dan penyaluran ke Pulau Pinang.

“Di sini kami tidak menghadapi masalah bekalan air, air SADA (Syarikat Air Darul Aman) elok sahaja,” katanya.

Tambahnya, jika cuaca panas berlarutan, air tasik berkenaan mungkin surut sehingga menampakkan jalan lama dan struktur rumah yang ditenggelamkan di dasar empangan.

“Walaupun air surut, kawasan ini tetap menjadi tarikan orang ramai yang ingin melihat sendiri fenomena ini selain merakam gambar tasik yang berubah wajah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN