fbpx
SEBUAH van Thailand berhenti mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Tumpat.

Warga Thailand beraya sambil isi diesel, petrol di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Segelintir rakyat Selatan Thailand mengambil kesempatan mengisi petrol dan diesel di negara ini ketika berkunjung menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri, susulan pelaksanaan catuan bahan api di negara mereka.

Seorang warga Thailand, Wan Den Wan Samail, 46, berkata, dia masuk ke Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor semalam untuk menziarahi saudara dan menghadiri kenduri perkahwinan.

Katanya, dia mengambil peluang mengisi diesel sebanyak 20 liter di sebuah stesen minyak semasa masuk ke Kelantan dan 20 liter lagi sebelum pulang ke Na­rathiwat.

“Harga diesel di Thailand sebenarnya murah iaitu 30.43 baht atau RM3.67 seliter berbanding Malaysia dengan RM4.72.

“Bagaimanapun, bekalan diesel di Thailand dicatu kerajaan dan banyak stesen minyak ditutup kerana kehabisan bekalan. Jadi, saya ambil peluang isi minyak di sini.

“Walaupun mahal sedikit, saya tetap beli kerana susah untuk isi minyak di Thailand ketika ini,” katanya kepada Kos­mo!.

Menurutnya, kenderaan a­sing yang mengisi diesel di stesen minyak di Kelantan hanya dibenarkan sebanyak 20 liter atau RM94.40.

Katanya, jumlah itu sebenar­nya tidak cukup untuk mengisi penuh tangki van berkapasiti 60 liter, namun dia tetap bersyu­kur kerana sekurang-kurangnya mendapat bekalan diesel.

“Bagi memastikan diesel penuh, saya perlu singgah di beberapa stesen minyak di sekitar sempadan Malaysia-Thailand. Apa yang saya lihat, tiada pembelian panik terhadap petrol atau diesel di Malaysia.

“Kami di Thailand terpaksa beratur panjang untuk isu petrol dan diesel. Pembelian pun hanya dibenarkan 500 baht atau RM60,” kata­nya.

DUA buah kenderaan dari Thailand yang mengisi minyak di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

Menurutnya, sekiranya krisis bahan api berlarutan di Thailand, tidak mustahil dia akan datang lagi ke Malaysia semata-mata untuk mengisi diesel.

Seorang pekerja di stesen mi­nyak yang mahu dikenali Rohayu, 25, berkata, meskipun berlaku krisis bahan api di Thailand, ste­sen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand tidak diserbu oleh rakyat negara jiran.

“Dalam sehari, hanya ada dua atau tiga kenderaan Thailand yang masuk untuk isi petrol atau diesel di sini. Kami hanya menjual RON97 dan diesel kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand.

“Mereka hanya dibenarkan untuk mengisi sebanyak 20 liter diesel di sesebuah stesen mi­nyak. Sebab itu, ada yang mengisi diesel di beberapa buah stesen minyak di sempadan,” katanya.

Di Bukit Kayu Hitam, tinjauan Kosmo! dalam tempoh kira-kira sejam mendapati, kira-kira tiga kenderaan bernombor pendaftaran Thailand mengisi bahan api di salah sebuah stesen minyak.

Menurut pekerja stesen minyak, jumlah kenderaan Thailand yang mengisi petrol RON97 dan diesel tanpa subsidi adalah seperti biasa meskipun berlaku catu­an bahan api di negara itu.

“Jumlah kenderaan Thailand yang isi minyak di sini tidak berubah, saya tengok macam biasa sahaja. Tidak berlaku situasi kenderaan berbaris panjang seperti di sana (Thailand), “ katanya.

Seorang pekerja sebuah lagi stesen minyak di sini juga me­nyatakan perkara sama bahawa tiada peningkatan jumlah kenderaan Thailand yang mengisi minyak di situ.

“Daripada pemerhatian saya, jumlahnya (kenderaan Thailand) sama sahaja seperti sebelum ini. Cuma kita akan pantau dan memastikan kenderaan asing ini hanya mengisi bahan api tidak bersubsidi, “ katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN