PETALING JAYA – Permintaan terhadap khidmat jurugambar ketika musim Aidilfitri terus meningkat apabila permintaan merakam gambar dari rumah ke rumah dan di studio raya mendapat sambutan luar biasa.
Seorang jurugambar, Ridhwan Mohamed, 38, berkata, sejak 2014 dia mula menawarkan perkhidmatan fotografi raya dari rumah ke rumah sebagai sumber pendapatan tambahan.
Dia yang berpengalaman selama 12 tahun sebagai jurugambar sukan dan perkahwinan berkata, sambutan yang diterima amat luar biasa kerana perkhidmatan sedemikian sebelum ini belum popular dan tidak banyak ditawarkan seperti hari ini.
“Bermula tahun lalu, saya mula merakam gambar untuk studio raya di sekitar Jerantut, Pahang dan Kuala Lumpur secara sambilan dengan upah RM70 untuk satu keluarga atau satu slot.
“Tahun lalu, raya pertama sahaja saya ada 15 slot atau keluarga. Saya pernah raih, sehari untuk slot studio sahaja RM2,000 kemudian ditambah pula servis ambil gambar dari rumah ke rumah, dalam RM1,000 sehari.
“Jadi sehari saya boleh dapat lebih RM3,000 bergantung jumlah pelanggan dan sesi fotografi. Raya pertama tahun ini juga saya ambil gambar di studio raya seharian,” katanya kepada Kosmo!
Ujarnya, trend mendapatkan khidmat jurugambar luar bukan sahaja memudahkan pengusaha studio raya, malah memberi peluang buat jurugambar bebas menjana pendapatan lumayan ketika
perayaan.
“Setakat ini, sudah tiga tahun saya terlibat dengan konsep studio raya dan kebanyakan pengusaha memang menggunakan khidmat jurugambar luar. Sekurang-kurangnya, perkhidmatan ini dapat menampung komitmen bulanan dan menambah pendapatan,” katanya.
Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, trend bergambar di studio raya memberi durian runtuh buat jurugambar kerana permintaan yang makin meningkat.
Pelbagai tema seperti rumah kampung tradisional, moden dan mewah serta minimalis dengan dekorasi indah ditawarkan pengusaha studio raya sehingga menerima tempahan sejak awal Ramadan sehingga awal Syawal. -KOSMO! ONLINE














