fbpx
Jebat merupakan tekong yang paling berpengalaman jika mahu mengilat ikan toman di Sungai Sepetang.

Bergasak toman air payau di Kampung Dew

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEWUJUDAN ikan toman di lokasi berair payau ini sudah saya ketahui ketika trip pertama bersama tekong Jebat semasa memancing ikan siakap di Kuala Sangga, Perak beberapa tahun yang lalu.

Namun ketika itu dimaklumkan oleh Jebat bahawa populasi ikan toman tersebut merudum akibat tangkapan lampau tuai (over catch) oleh orang ramai.

Sehinggalah pada awal tahun ini kumpulan ikan toman itu muncul semula sehinggalah trip memancing siakap terpaksa Jebat kurangkan dan menumpukan pada pancingan ikan toman.

Mujur saya sempat menyelit untuk satu slot pancingan toman tersebut. Saya juga sudah sangat lama tidak memancing ikan toman ‘air masin’ ini kerana yang terakhir ialah berbelas tahun yang lalu di Sungai Lebam, Johor.

Ikan toman yang hidup di habitat bersaliniti tinggi ini sememangnya diketahui kuat tenaga juangnya. Ini berikutan perairan yang diinapnya ialah kawasan yang berarus pasang dan surut.

Jadi, boleh dibayangkan berlawan dengan ikan toman yang setiap hari menongkah dua keadaan arus sungai, pasti tenaganya kuat sekali berbanding saudaranya yang hidup di perairan berair tenang seperti di tasik dan lombong.

Trip
Saya turun berdua sahaja bersama Nazreen kerana Jebat menggunakan bot saiz kecil disebabkan air surut habis awal pagi itu dan perlu meranduk air yang sangat cetek ketika berlepas dari Pengkalan Lubuk Buntar.

Sememangnya tekong me­­ngetahui masa yang terbaik untuk memburu toman di Sungai Sepetang ini. Biasanya jika hendak meman­cing ikan siakap, bot akan belok ke kanan sebaik keluar dari Sungai Lubuk Buntar dan masuk ke Sungai Sepetang.

Tetapi untuk pancingan toman, bot akan membelok ke kiri. Sebenarnya, apabila difikirkan lokasi pancingan siakap dan toman ini berdekatan atau berani saya katakan sama sahaja.

Menurut Jebat, kadangkala ikan toman boleh didapati jauh ke hilir sehingga melepasi Kuala Sepetang di kawasan yang airnya betul-betul masin dan pada masa yang sama ada sahaja pemancing yang me­nyasarkan ikan toman di kawasan hulu boleh dapat ikan siakap putih dan siakap merah.

Namun, kedua-dua fenomena tersebut jarang-jarang berlaku, ia mungkin memeranjatkan bagi pemancing luar, namun tidak bagi penduduk setempat.

Asal usul toman
Jebat juga menerangkan semasa dia kecil, langsung tidak pernah kedengaran tentang kewujudan ikan toman di kawasan air masin ini. Apabila dia meningkat dewasa barulah ada ikan ini di Sungai Sepetang di sekitar Kampung Dew.

Dia merasakan toman-toman ini datang dari kawasan lombong yang pecah di bahagian hulu sungai atau kolam-kolam ternakan ikan toman di tempat yang sama.

Stok ikan toman ini juga ada kalanya banyak dan ada masanya berkurangan, ini kerana jarang penduduk setempat atau pemancing dari luar hendak melepaskannya kembali ikan yang ditangkap, semua ‘ditapau’ bawa balik kerana dikatakan isinya lebih sedap dari toman yang hidup di air tawar.

Gewang bising
Saya perhatikan kawasan sekitar yang dikatakan habitat toman itu sememangnya tidak serupa sama sekali dengan persekitaran toman yang kebiasaannya. Di kawasan tebing sungai dipenuhi pokok-pokok nipah berselang seli dengan pokok-pokok berembang.

Saya memulakan acara dengan menurunkan gewang kekipas (propeller) yang sungguh lama tidak digunakan kerana berfikiran ia pasti dapat meledakkan suasana dengan bunyi bisingnya itu.

Jebat merapatkan bot di satu kawasan bereba kayu, kelihatan beberapa kuak air menandakan ada beberapa ekor ikan toman naik menghirup nafas di permukaan air.

Toman bujang saiz sebegini paling banyak saya dapat menggunakan gewang lama River2Sea dengan dua kipas plastik di hadapan dan belakangnya menghasilkan bunyi yang lebih bising ketika dikarau.

Gewang terus dilontar dan sebaik kedua-dua kipas di hadapan dan belakang gewang berputar ia terus disergap toman, malangnya tidak lekat kerana sambarannya terlalu pantas.

Ingat itulah kesudahannya, betapa tersilapnya saya kerana gewang terus disambar tiga kali berturut-turut sehinggalah kena seekor betul-betul di tepi bot.

Seperti apa yang dijangka, tenaga ikan toman di kawasan berarus sememangnya kuat dan ikan membenam beberapa kali sebelum dapat didaratkan, ikannya saiz ‘bujang’ sahaja, tetapi perlawanannya sangat mengasyikkan.

Tekong dan Nazreen turut menerima hentaman toman di reba yang sama, kami bersilih ganti bergasak toman.

Hairan ikan toman di dalam reba itu langsung tidak culas, walaupun kami melepaskan semula semua tangkapan.

Menurut Jebat, di dalam reba itu ada banyak lagi ikan toman, mana yang sudah kena gewang dan dilepaskan semula pasti sudah beredar ke reba-reba yang lain, manakala mana yang masih ada di dalam reba tidak segan silu keluar menerkam gewang yang disuakan.

Saya sendiri sudah berpuluh tahun tidak bertemu situasi toman yang menggila sebegitu dan merasa sungguh teruja lebih-lebih lagi apabila 10 kali lontaran gewang, sekurang-kurangnya 5 kali pasti akan bersahut.

Begitulah rutin pancingan kami pagi itu sehinggalah air naik pasang barulah tomannya menghilang.

Mengikut kata Jebat, apabila arus naik pasang, air akan memenuhi seluruh kawasan sungai membuatkan kumpulan toman akan beredar ke reba-reba yang kedudukannya terlalu jauh ke tebing sungai yang dinaungi pula oleh pohon-pohon pokok yang rendah merendang, lantas membuatkan gewang sukar disampaikan.

Jadi, pemancing harus menunggu air menjadi surut semula untuk kawasan bereba tadi menjadi cetek dan ikan-ikan akan keluar ke kawasan terbuka dengan berhimpit-himpit memenuhi reba-reba yang tidak banyak ada ketika air rendah.

Kami ada juga mencuba gewang-gewang lain seperti soft plastic (SP) saiz besar, pencil dan popper. Namun, gewang yang menjadi juara pada hari itu tetap yang jenis ada propeller.

Berkemungkinan bunyinya yang sangat bising membuatkan ikan toman yang ‘menaun’ di dalam reba ‘cega’ dengan bunyinya itu.

Kekurangan gewang ini cuma ia terlalu ringan, jadi ketika toman menerpanya dengan pantas, ia menghasilkan ombak yang membuatkan gewang ‘tercampak’, jadi ia selalu ‘miss call’ gewang di setiap kali terkamannya.

Tetapi ketika trip kami, bilangan ikan tomannya sangat banyak sehinggakan sekali karauan gewang boleh ada tiga ke empat kali terkamannya, jadi tidaklah terasa ralat sangat, malah lebih seronok pula.

Toman saiz kasar ada, kerana beberapa kali saya dapat melihat ia cuba menghambat gewang, namun saiz ‘bujang’ yang banyak itu lebih cepat menerpa gewang daripadanya.

Pada saya, lokasi ini boleh dijadi­kan satu lagi persinggahan menarik bagi kaki mengilat ikan toman di tanah air kita.

Penting sekali, semua yang hadir wajib mengamalkan ‘tangkap dan lepas’ supaya populasi ikan toman di sungai ini sentiasa berkekalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN