KUALA NERANG – Cuaca panas tidak menghalang umat Islam terutama di utara tanah air berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai walaupun ramai yang mengadu sakit kepala ekoran terdedah lama di bawah terik matahari.
Seorang perantau, Azmeer Mahizi, 40, berkata, dia sekeluarga dari Taiping, Perak pulang beraya di Kuala Nerang dalam daerah Padang Terap sehari sebelum sambutan Aidilfitri.
“Cuaca panas di sini memang lain macam, daerah Padang Terap paling panas dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius.
“Selesai solat sunat Aidilfitri, saya bersama isteri dan dua anak beraya di rumah saudara-mara. Pukul 10 pagi sudah rasa bahang panas, tapi kami tetap meneruskan ziarah sampai petang,” katanya.
Ekoran itu, Azmeer berkata, dia dan isterinya mengalami sakit kepala teruk menyebabkan mereka terpaksa menghabiskan hari raya kedua di rumah.
“Ramai saudara-mara sakit kepala, ada yang diserang migrain, sakit tekak dan demam. Hari ini (semalam) kami hanya keluar beraya sebelah pagi dan pulang sebelum tengah hari, mungkin sebelah malam akan keluar beraya lagi,” ujarnya.
Fakhrul Razi Ismail, 41, pula berkata, cuaca di Kampung Belukar Luas, Naka adalah yang paling panas dirasainya setakat ini.
“Kalau naik motosikal, rasa macam nak terbakar kulit. Jika di rumah pula rasa bahang, memang ulang-alik minum air sejuk. Namun begitu, kami tetap beraya ke rumah saudara-mara tetapi banyak duduk di dalam rumah,” ujarnya.
Di Kangar, Perlis, Siti Hajar Ahmad Hashim, 53, berkata, cuaca terik di siang hari menjejaskan aktiviti kunjung-mengunjung.
“Nak duduk lama di luar pun tak tahan. Biasanya raya meriah dengan ziarah, tetapi tahun ini ramai duduk dalam rumah. Kali ini, tidak ramai kanak-kanak datang ke rumah, mungkin sebab panas. Paling ‘laku’ sekarang air sejuk,” katanya.
Wanita itu berharap agar berlaku hujan supaya dapat menurunkan suhu cuaca panas terik di negeri tersebut.
“Perlis sangat panas sehingga ada banyak kawasan termasuk di kawasan bukit dan belukar terbakar, kalau hujan kurang sikit rasa bahang,” ujarnya.
Tambah Siti Hajar, cuaca panas dan kering di negeri itu bagaimanapun bertukar nyaman kerana berangin serta sejuk pada lewat petang dan sebelah malam.














