Mohd. Azhar menunjukkan persekitaran kawasan Sungai Sedim di Kulim yang mempunyai beberapa lubuk berbahaya baru-baru ini.

10 lubuk ‘minta’ nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Sebanyak 10 lubuk di Sungai Sedim di sini menjadi lokasi berbahaya yang sering ‘meminta’ nyawa pengunjung ekoran mempunyai arus deras, pusaran air dan kedalaman mencecah sehingga tujuh meter.

Difahamkan, kes pengunjung lemas ketika mandi-manda se­ring berlaku saban tahun ketika mereka beriadah di kawasan rekreasi tersebut ketika musim perayaan dan cuti.

Pengerusi Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad, Abdul Mutalib Che Sa berkata, antara kawasan berisiko ialah Lubuk Kawah, Titi Cina, Batu Hampar atau Titi Jasman No. 1, Titi Jasman No. 2, Lubuk Siku, Lubuk Gua, Lubuk Buluh dan Lubuk Jong.

Katanya, kesemua lubuk itu berpotensi untuk melemaskan mangsa yang tidak biasa dengan kawasan berkenaan. Lubuk Kawah mempunyai arus berpusar dengan keda­laman empat hingga lima meter dan pernah merekodkan tiga kes kematian akibat lemas.

“Titi Cina juga berbahaya ke­rana mempunyai arus deras dan pusaran air dengan kedalaman sekitar tiga hingga empat meter serta pernah berlaku dua kes kematian dipercayai berpunca da­ripada kepala air,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Abdul Mutalib, Batu Hampar atau Titi Jasman No. 1 pula mempunyai arus deras, pusaran air serta permukaan berbatu dengan kedalaman dua hingga tiga meter dan dilaporkan beberapa kali berlaku kes lemas sehingga meragut tiga nyawa.

Tambahnya, Titi Jasman No. 2 yang mempunyai jeram tinggi, arus laju dan berbatu dengan kedalaman dua hingga tiga meter turut mencatatkan satu kematian dipercayai berpunca daripada kepala air.

“Lubuk Siku pula dianggap antara kawasan paling berbahaya kerana mempunyai jeram tinggi, permukaan batu licin serta kedalaman mencecah enam hingga tujuh meter dengan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kes kematian direkodkan,” katanya.

Ujar Abdul Mutalib, Lubuk Gua yang mempunyai pusaran air dengan kedalaman tiga hingga empat meter turut mencatatkan beberapa kes lemas membabitkan dua kematian, manakala Lubuk Buluh dan Lubuk Jong masing-masing merekodkan satu kematian.

“Papan tanda amaran juga telah dipasang oleh Jabatan Perhutanan Negeri di kawasan tumpuan pengunjung bagi memberi peringatan,” katanya.

Sementara itu, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, Mohd. Azhar Othman, 50, berkata, dia terlibat dalam operasi menyelamat di Sungai Sedim sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan kejadian lemas berlaku apabila mangsa dihanyutkan arus deras sebelum terperangkap di kawasan lubuk dalam dan sukar dikesan, terutama jika berlaku kepala air.

“Kawasan paling berbahaya termasuk Lubuk Siku, Lubuk Kawah, Lubuk Lebai Awang, Kandang Kerbau dan Lubuk Gua. Jika hujan lebat di hulu, kami akan periksa dan beritahu ­operator penginapan mengenai tahap keselamatan sungai,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN