PETALING JAYA – Konflik berpanjangan di Asia Barat berpotensi memberi tekanan besar kepada ekonomi Malaysia khususnya melalui kenaikan harga minyak dunia dan kos sara hidup rakyat.
Lebih membimbangkan juga, ia turut memberi kesan kepada inflasi dan kenaikan harga barang dalam tempoh enam bulan akan datang.
Mendedahkan perkara itu, Pakar Ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, walaupun Malaysia tidak bergantung secara langsung kepada negara yang terlibat dalam konflik untuk bekalan makanan, kesan tidak langsung melalui lonjakan harga minyak global boleh memberi impak ketara kepada harga barangan dan perkhidmatan.

Ini kerana katanya, konflik terbabit telah menyebabkan Selat Hormuz yang menjadi nadi laluan kira-kira 20 peratus minyak dunia terjejas.
“Gangguan ini (penutupan Selatan Hormuz) meningkatkan harga minyak dan gas asli (LNG) global dan seterusnya memberi tekanan kos kepada industri dan pengguna Malaysia.
“Walaupun Malaysia tidak banyak bergantung kepada negara di zon konflik untuk makanan, kenaikan harga minyak global akan menaikkan kos logistik, pengangkutan dan seterusnya harga pengguna.
“Malah, ketegangan itu juga menyebabkan pelabur global beralih kepada aset selamat seperti USD dan emas, menyebabkan ketidakstabilan pasaran kewangan.,”katanya kepada Kosmo!
Ketika ini tambahnya, harga minyak mentah Brent berada sekitar AS$78 hingga AS$85 (RM308 hingga RM335 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) sekitar AS$70 hingga AS$73 (RM276 hingga RM288 setong, meningkat antara enam hingga sembilan peratus susulan eskalasi konflik.
“Jika konflik berpanjangan harga minyak boleh mencecah AS$80 hingga AS$100 (RM315 hingga RM395 setong) mengikut senario Goldman Sachs,”ujarnya.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, kenaikan harga minyak itu tidak memberi kesan serta-merta kepada pengguna di Malaysia, namun impaknya akan dirasai dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan akan datang.
“Meskipun Bank Negara Malaysia menjangka inflasi 2026 kekal sederhana sekitar 1.8–2.0 peratus, tetapi tekanan kos dari minyak (peningkatan harga minyak) boleh menaikkannya (inflasi).
“Berdasarkan analisis OCBC Bank, setiap 10 peratus kenaikan harga minyak akan menambah 0.4–0.6 peratus inflasi Malaysia,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya mengurus kewangan dengan lebih berhemah serta menyediakan dana kecemasan minimum tiga hingga enam bulan kerana kos sara hidup dijangka naik.
“Kurangkan hutang varibel-rate kerana ketidaktentuan global boleh menyebabkan dasar monetari berubah.
“Kurangkan kebergantungan kepada barangan import, utamakan produk tempatan untuk elak kesan kenaikan kos antarabangsa.
“Tingkatkan kecekapan tenaga contohnya penggunaan lampu LED, kurangkan penggunaan petrol, gunakan carpool, EV/hybrid jika mampu,”katanya.
Turut senada dengan Barjoyai adalah Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latif.

Jelas beliau, sekiranya berlaku kenaikan harga minyak global ia akan memberi kesan langsung kepada beberapa industri utama termasuk logistik, perindustrian dan perkilangan.
“Sekali gus katanya, ia akan mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan yang akan memberi kesan langsung kepada pengguna.
“Namun, saya yakin kesan ini tidak akan ketara memandangkan kerajaan telah mempunyai mekanisme kukuh dalam mengawal kenaikan harga barangan ini melalui subsidi Ron95 dan Sumbangan Asas Rahmah,”katanya.
Beliau menambah, meskipun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, namun sebahagian besar industri masih bergantung kepada minyak yang diimport kerana bekalan negara terhad.














