SHAH ALAM – Cubaan nekad seorang lelaki warga Bangladesh melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang besar akhirnya sia-sia apabila dia tetap diberkas dalam serbuan di sebuah gudang bateri di Seksyen 23, di sini.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika Op Mahir dilancarkan Jabatan Imigresen Selangor bersama Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Menurutnya lelaki dikenali sebagai Hassan, 23, ketika serbuan dia sedang berehat kerana berpuasa dan tidak makan tengah hari.
“Saya terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa dan segera lari panjat pagar belakang gudang dan terjun dalam longkang sebab takut tapi dikepung dan ditahan. Mujur tidak cedera,” katanya ketika ditemui Kosmo!
Hassan yang masih bujang mendedahkan, dia sebelum ini bekerja di kawasan sampah dan menetap di Malaysia selama tiga tahun, selain mendakwa bekerja di gudang itu sejak setahun lalu dengan gaji RM1,700 sebulan.
Dia merupakan antara 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan selepas majoritinya dipercayai melanggar syarat pas selain kesalahan tinggal lebih masa di negara ini. – KOSMO! ONLINE














