fbpx
Pengguna Thread Haziq Rein memuat naik gambar keadaan sesak di salah satu stesen MRT ekoran gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai pada pagi ini.

‘Kena tukar-tukar tren, satu platform sahaja berfungsi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengguna MRT Laluan Putrajaya terpaksa ‘bertukar-tukar’ tren pada pagi ini memandangkan hanya ada satu platform beroperasi ekoran gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai.

Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial yang menggunakan pengangkutan awam itu, mereka mendakwa terdapat satu platform sahaja berfungsi pada pagi ini, sekali gus perlu menunggu lama untuk mendapatkan tren.

Pengguna Thread Melodymilikqa memuat naik video berada di MRT Sungai Buloh untuk ke Kwasa Damansara, namun dia perlu menunggu di platform Putrajaya.

“Platform 2 ke Kwasa Damansara tak berfungsi, jadi kena beratur di platform yang ke Putrajaya. Jadi akan ambil giliran naik tren ke Kwasa Damansara dan yang ke Putrajaya dan ulang lagi,” katanya.

Pengguna Thread Intan Lyanamz juga memaklumkan perkara sama berhubung hanya satu platform berfungsi pada pagi ini.

“Laluan ke Putrajaya dan Kwasa Damansara masalah ya pagi ni. Kena dengar arahan. Takut nanti salah pergi lokasi. Sekian laporan, satu platform sahaja berfungsi,” katanya.

Pengguna Thread Kcwani meninggalkan komen pada satu hantaran bahawa dia juga mengalami pengalaman sama pada pagi ini apabila terpaksa bertukar tren ekoran gangguan berkenaan.

“Terganggu sis, dia tukar-tukar tren sebab satu platform sahaja berfungsi. Kejap ke Kwasa Damansara, kejap ke Putrajaya. Jadi marilah bertabah semua pengguna MRT pagi ini. Insya-Allah, fasobrun jamil (sabar itu indah),” katanya.

Pengguna Thread Dinaa Amiraa pula mengambil keputusan menggunakan MRT Laluan Kajang memandangkan tidak mahu menunggu lama susulan gangguan MRT Laluan Putrajaya.

“Nasib kita terus lari Laluan Kajang,” katanya.

Seorang lagi pengguna Thread Alynakaoru pula membayangkan bakal pulang ke rumah lewat hari ini susulan gangguan tersebut.

“Adakah aku akan balik lambat lagi sebab MRT Laluan Putrajaya buat hal? Nantikan,” katanya.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) pagi ini memaklumkan, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sedang mengalami gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai.

Rapid Rail menerusi kenyataannya, siasatan awal pasukan kejuruteraan mengesahkan bahawa berlaku kecurian kabel bekalan kuasa yang telah dipotong berhampiran Stesen Damansara Damai.

Sehubungan itu, tren alternatif disediakan iaitu dari Stesen Putrajaya Sentral akan berpatah balik di Stesen Metro Prima (kekerapan enam minit), tren perantara ulang-alik di antara Stesen Metro Prima dan Stesen Damansara Damai (kekerapan lapan minit) dan tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen Damansara Damai (kekerapan lapan minit). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN