LIVERPOOL – Penyerang sensasi Liverpool, Hugo Ekitike masih belum berpuas hati dengan prestasi semasa walaupun berjaya meledak 16 gol pada musim pertama bersama The Reds sejak berhijrah ke Anfield tahun lalu.
Pemain antarabangsa Perancis itu tekad untuk terus membalas kepercayaan yang diberikan oleh pasukan dengan terus memberi impak menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi esok.
Kata Ekitike, tidak wajar untuk sekadar berpuas hati dengan prestasi semasa, sebaliknya perlu menggandakan lagi usaha menjadi penyerang yang lebih berbisa.
“Secara jujur, saya boleh menjaringkan lebih banyak gol dan tidak begitu gembira dengan rekod semasa. Namun, bola sepak bukan hanya tentang gol, ia juga melibatkan bantuan jaringan.
“Saya percaya dengan kualiti peribadi kerana saya boleh bantu pasukan tetapi cuba menjadi lebih baik. Justeru, saya harap dapat lebih tajam memanfaatkan peluang pada perlawanan akan datang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, pengurus Liverpool, Arne Slot melontarkan pujian kepada pemain pertahanannya, Joe Gomez yang dianggap memainkan peranan penting selepas diletakkan dalam kesebelasan utama pada aksi bertemu West Ham minggu lalu.
“Prestasi Gomez memang layak dipuji. Kami tahu apa yang dia lakukan untuk memastikan dirinya sentiasa cergas. Sekarang dia beraksi baik dan melakukan beberapa lontaran jauh yang hampir menjadi umpanan jaringan buat pasukan,” katanya. – AGENSI














