BAGI warga penduduk Bandar Pulai Jaya di Ipoh, Perak, hobi memancing bukan sekadar aktiviti santai, malah menjadi jambatan ukhuwah yang menyatukan penduduk di pelbagai peringkat usia.
Sekumpulan penduduk kawasan tersebut menganjurkan aktiviti memancing ikan siakap putih di estuari Telaga Nenas Air Tawar, Perak dengan menyewa beberapa buah bot di jeti Gapis Aqua Game.
Seawal pukul 7 pagi, peserta yang terdiri daripada golongan belia, bapa-bapa serta beberapa warga emas berkumpul di lokasi. Wajah ceria dan semangat jelas terpancar apabila masing-masing membawa kelengkapan memancing sendiri.
Ada yang lengkap dengan set mengilat (casting) menggunakan gewang, manakala sebahagian lagi memilih teknik tradisional menggunakan umpan udang hidup.
Menurut salah seorang peserta, aktiviti ini sudah dirancang sejak beberapa lama melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp penduduk taman.
“Kami memang minat memancing, tapi kali ini kami sepakat jadikan ia program komuniti. Bukan sahaja untuk mengisi masa lapang tetapi untuk mengeratkan lagi hubungan sesama jiran,” katanya.
Gapis Aqua Game di Telaga Nenas menawarkan pengalaman memancing yang berbeza kerana penggunaan bot sewa membolehkan pemancing bergerak ke kawasan strategik di sekitar estuari yang luas.
Target lokasi
Kawasan berstruktur seperti pokok tumbang, tebing berbatu dan kawasan air dalam menjadi sasaran utama pemancing kerana sering menjadi tempat persembunyian ikan siakap putih.
Bagi kaki mengilat, cabaran utama adalah ketepatan lontaran gewang dan teknik karauan yang mampu menggoda ikan siakap putih untuk menyambar. Pelbagai jenis gewang digunakan seperti minnow selaman cetek, gewang permukaan (topwater) dan soft plastic.
“Teknik mengilat ini memang perlukan kesabaran. Kena pandai baca air dan struktur. Bila siakap sambar gewang, memang puas hati,” ujar Azizol yang berjaya menaikkan siakap pertamanya bersaiz hampir dua kilogram menggunakan minnow berwarna hijau.
Sementara itu, teknik menggunakan umpan udang hidup juga tidak kurang hebatnya. Udang yang dicangkuk kemas pada mata kail dilepaskan berhampiran struktur reba pokok tumbang. Tidak lama menunggu, tali pancing mula menegang menandakan ikan siakap putih sudah memagut umpan.
Bagi peserta yang kurang mahir mengilat, teknik udang hidup memberikan peluang lebih tinggi untuk merasai tarikan ikan. Jeritan kegembiraan sering kedengaran setiap kali joran melentur kuat, menandakan pertarungan sengit antara pemancing dan ikan.

Pengalaman baharu
Menurut seorang lagi peserta, Johari selaku bilal surau, pengalaman menaiki bot bersama rakan-rakan sambil memancing memberikan suasana yang sangat berbeza.
“Dalam bot kita boleh berbual, bergurau dan saling membantu. Bila kawan dapat ikan, semua rasa seronok. Bila rabut pun sama-sama ketawa,” katanya.
Sepanjang aktiviti berlangsung, suasana penuh harmoni jelas kelihatan. Tiada persaingan, sebaliknya semangat saling membantu dan berkongsi ilmu menjadi keutamaan.
Peserta yang mahir mengilat tidak lokek berkongsi teknik lontaran, manakala yang berpengalaman dengan umpan hidup membantu menunjukkan cara terbaik mencangkuk udang dan memilih lokasi.
Menjelang tengah hari, hasil tangkapan semakin memberangsangkan. Beberapa ekor ikan siakap putih bersaiz antara 500 gram hingga dua kilogram berjaya dinaikkan.
Hasil tangkapan tidak dibolot individu, sebaliknya dibahagikan sama rata untuk dibawa pulang atau dirancang untuk dijadikan hidangan bersama.
Apa yang lebih bermakna, aktiviti ini turut membuka ruang kepada penduduk yang sebelum ini jarang bertegur sapa untuk saling mengenali. Anak-anak muda dapat bergaul dengan golongan lebih berusia, bertukar cerita dan pengalaman hidup dalam suasana santai di tengah muara.
Seorang peserta, Haji Fadil meluahkan rasa gembira kerana dapat menyertai aktiviti bersama generasi muda.
“Saya memang kaki pancing. Sekarang dapat turun memancing dengan anak-anak muda, rasa
seronok sangat. Ini yang kita mahukan, hubungan jiran yang rapat,” katanya.
Penganjuran aktiviti ini juga membuktikan bahawa riadah memancing mampu menjadi medium pembinaan komuniti yang efektif. Tanpa perlu program formal atau perbelanjaan besar, hubungan kejiranan dapat diperkukuh melalui minat yang sama.
Menurut peserta, mereka bercadang menjadikan aktiviti sebegini sebagai program berkala dan mungkin melibatkan lebih
ramai penduduk pada masa akan datang.
Aktiviti memancing ikan siakap putih di Telaga Nenas ini bukan sekadar tentang siapa yang mendapat ikan paling besar, tetapi lebih kepada nilai kebersamaan, kerjasama dan kegembiraan yang dikongsi bersama.
Di tengah muara yang luas dan bunyi percikan air apabila siakap putih menyambar gewang atau umpan, terjalin satu ukhwah
yang lebih erat antara warga Bandar Pulai Jaya.
Ia satu bukti bahawa hobi memancing yang diminati bersama mampu menyatukan komuniti dalam suasana cukup harmoni dan bermakna.














