fbpx
KEGHAIRAHAN peniaga menggunakan AI sehingga visual dihasilkan tidak menggambarkan produk sebenar secara tepat boleh menimbulkan isu undang-undang dan etika keusahawanan. – GAMBAR JANAAN AI

AI satu kelebihan atau perangkap Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMADAN sudah mema­suki minggu kedua dan lazimnya, persiapan Aidilfitri merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh semua masyarakat.

Pada masa sama, platform e-dagang dan media sosial semakin rancak dibanjiri dengan promosi dan tawaran yang memukau pandangan pengguna. Pelbagai rekaan yang tampak eksklusif dengan pilihan warna yang pelbagai, potongan menarik yang digayakan oleh model maya tampak begitu premium dan meyakinkan.

Dalam keghairahan peniaga menghasilkan kandungan, masih ada yang mengambil kesempatan dengan menggunakan visual yang dijana sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan (AI), termasuk gambaran produk yang turut dijana menggunakan AI.

Hal ini pada akhirnya membawa kepada permasalahan pengguna apabila produk sebenar yang diterima pelanggan jauh berbeza daripada gambaran dalam video pemasaran.

Ternyata, fenomena ini semakin ketara dalam ekosistem keusahawanan digital. Ramai peniaga menggunakan AI untuk menghasilkan video promosi, model maya, latar belakang estetik dan pencahayaan sempurna tanpa perlu sesi fotografi sebenar.

Dari sudut inovasi, penggunaan AI adalah sah dan progresif. Namun apabila visual yang dihasilkan tidak menggambarkan produk sebenar secara tepat, ia boleh menimbulkan isu membabitkan undang-undang dan etika keusahawanan itu sendiri.

Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi tahun 2023, lebih 12,000 aduan e-dagang telah diterima, dengan sebaha­gian besar melibatkan produk yang tidak seperti diiklankan secara dalam talian.

Statistik ini menunjukkan bahawa isu janaan visual mengelirukan bukan perkara terpencil, malah semakin membimbangkan dalam era pemasaran digital.

Strategi promosi

Laporan Digital 2025 oleh We Are Social dan Hootsuite pula mendapati, hampir 70 peratus rakyat Malaysia membeli secara dalam talian setiap bulan, dan hampir 60 peratus keputusan pembelian tersebut dipengaruhi oleh kandungan video serta visual promosi.

Dalam erti kata lainnya, ­visual pemasaran memainkan pe­ranan penting dalam membentuk persepsi dan keputusan pembe­lian oleh pengguna.

Jika dilihat dalam konteks glo­bal pula, laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2025 menganggarkan sekitar 25 peratus kan­dungan iklan digital kini dijana menggunakan teknologi AI sepenuhnya.

Trend ini memperlihatkan bahawa penggunaan AI dalam pemasaran bukan lagi eksperimen, tetapi telah menjadi antara ke­perluan penting dalam merencanakan strategi pemasaran dan perniagaan moden.

AI dalam pemasaran bukan satu kesalahan. Ia adalah alat tetapi apabila rekaan yang dipaparkan tidak benar-benar wujud secara fizikal, tekstur kain kelihatan jauh lebih berkualiti daripada realiti, warna dan potongan berbeza ketara daripada produk sebenar, serta tiada pendedahan bahawa visual tersebut hanyalah ilustrasi AI, maka ia berpotensi menjadi amalan perdagangan yang mengelirukan.

Di Malaysia, situasi ini boleh melibatkan Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang melarang amalan mengelirukan dari aspek kualiti, ciri atau keselamatan sesuatu barang. Selain itu, Akta Perihal Dagangan 2011 juga turut diguna pakai bagi melin­dungi pengguna daripada amalan perniagaan tidak jujur, pengiklanan palsu dan salah laku perihal dagangan (harga, kualiti, status halal) juga melarang pernyataan palsu dalam urusan perdagangan.

Jelaslah di sini, teknologi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak tanggungjawab sebaliknya ketelusan tetap terletak pada usahawan kerana pada ­akhirnya ia buka sekadar undang-undang, tetapi tentang etika keusahawanan.

Dalam pemasaran, penambahbaikan visual adalah perkara ­biasa. Namun apabila AI digunakan untuk mencipta gambaran yang terlalu ideal sehingga jauh daripada produk sebenar, ia ­melangkaui sempadan kreativiti dan mema­suki ruang memanipulasi persepsi.

Menjelang musim perayaan juga, faktor pembelian pengguna adalah bersandarkan kepada sifat keterujaan dan emosi. Ditambah dengan tularnya informasi ­warna-warna pilihan ramai, pembelian secara tidak langsung turut didorongi oleh keinginan untuk sama-sama mengikuti tren terkini atau dalam isitilah masa kini Fear of Missing Out (FOMO).

Justeru apabila baju yang di­terima tidak seperti yang diiklankan, kekecewaan bukan sahaja bersifat material tetapi juga memberi kesan yang cukup mendalam terhadap emosi dan mental pengguna serta kerugian dari aspek kewangan.

Hilang kepercayaan

Pada tahap ini, kepercayaan terhadap jenama akan terjejas, dan dalam dunia digital, reputasi yang tercalar sukar dipulihkan. Lebih membimbangkan, kekecewaan tersebut sering diterjemahkan dalam bentuk yang lebih serius seperti ulasan negatif dengan penggunaan bahasa kesat dan kasar, mesej tular yang negatif ­selain perkongsian pengalaman di media sosial dan amaran kepada pengguna lain.

Dalam ekosistem digital yang pantas, satu pengalaman buruk boleh tersebar luas dalam tempoh singkat, sekali gus menjejaskan kredibiliti perniagaan yang dibina bertahun-tahun.

Selain itu, tekanan emosi ­akibat rasa tertipu menjelang hari istimewa boleh memberi kesan psikologi yang lebih besar daripada nilai produk itu sendiri.

Bagi sesetengah pengguna, pakai­an raya bukan sekadar barangan yang dibeli setiap hari, tetapi lebih kepada simbol keyakinan diri dan persiapan untuk momen bermakna bersama keluarga.

Justeru, apabila harapan itu tercalar dek sikap tidak bermoral usahawan, kesannya melangkaui rasa kecewa semata-mata sebaliknya memasuki ruang ­kepercayaan serta maruah sebagai pengguna.

Usahawan yang mengutamakan etika serta jujur boleh mengambil langkah proaktif de­ngan menyatakan notis umum dengan jelas jika visual adalah dijana menggunakan ilustrasi AI.

Pada masa sama, usahawan boleh menyertakan gambar sebenar produk fizikal, mengelakkan gambaran tekstur atau potongan yang tidak realistik, serta memberikan penerangan tepat tentang material, warna dan saiz.

Harus diingat, ketelusan dalam perniagaan tidak sesekali melemahkan, sebaliknya ia membantu usahawan untuk mengukuhkan kredibiliti jangka panjang. Dalam kerangka Etika dan Undang-­Un­dang dalam keusahawanan, inovasi diterima pakai dan perlu bergerak seiring dengan integriti.

AI memberi peluang menjimat­kan kos dan meningkatkan kreativiti, tetapi tanpa kawalan etika, ia boleh berubah menjadi risiko undang-undang dan reputasi.

Dalam dunia digital yang serba pantas, pelanggan mungkin boleh dipengaruhi oleh video pemasaran dengan visual janaan AI yang sempurna, tetapi mereka hanya akan kembali jika kepercayaan dipelihara.

Justeru, dalam keghairahan me­manfaatkan AI, usahawan per­lu sentiasa mengingati bahawa reputasi dibina melalui kejujuran – dan kejujuran itulah yang akhir­nya membezakan antara per­nia­gaan yang sekadar viral dan per­niagaan yang benar-benar bertahan.

Sama-sama kita jadikan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk semua.

Suhana Abdul Mutalib ialah Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN