fbpx
ORANG ramai mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung saranan memakai pelitup muka selepas kluster tibi direkodkan di beberapa negeri. - GAMBAR HIASAN

‘Tibi masih terkawal, kerajaan pun belum wajibkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata peniaga dan pengunjung bazar Ramadan di seluruh negara mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam isu pemakaian pelitup muka berikutan penularan penyakit Tuberculosis atau tibi dalam negara.

Setakat ini, pemakaian pelitup muka masih belum diwajibkan.

Di Alor Setar, tinjauan di bazar Ramadan di Hutan Kampung dan pekarangan Hospital Sultanah Bahiyah mendapati peniaga dan pengunjung tidak memakai pelitup muka.

Menurut peniaga kuih, Suraya Ahmed, 47, berkata, kesedaran tentang pemakaian pelitup muka belum ada kerana jumlah kes tidak terlalu tinggi selain kerajaan belum mewajibkan pemakaian pelitup muka seperti ketika pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Mungkin bila wajib, semua akan pakai. Bagi saya eloklah pakai pelitup muka bagi warga emas dan kanak-kanak selain mereka yang mempunyai penyakit. Kalau boleh ibu bapa elakkan bawa bayi, takut juga penyakit tibi ini sebab ia jarang berlaku,” katanya.

Pengunjung, Abdul Halim Abdul Rahman, 65, berkata, dia pasti akan memakai pelitup muka jika kes terus meningkat.

“Pada usia ini dengan penyakit darah tinggi dan kencing manis, saya perlu berjaga-jaga juga,” katanya.

Di Ipoh, seorang pengunjung Bazar Ramadan Stadium Ipoh, Mohd. Nuh Azmy, 29, berkata, dia sebagai bapa seorang anak itu memilih untuk enggan panik.

“Di Perak pun ada kes, namun saya percaya ia tidak akan menular dengan serius seperti Covid-19. Disebabkan kita dapat lihat ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mengenakan pelitup muka walaupun ke tempat tumpuan ramai seperti bazar Ramadan ini,” katanya.

Seorang peniaga nasi ayam, Hussain Rahmat, 45, beranggapan keadaan kini masih terkawal dan jika teruk sudah tentu kerajaan mewajibkan pelitup muka.

“Hingga kini tiada sebarang arahan dikeluarkan. Atas sebab itu, saya percaya kita masih lagi selamat. Secara peribadi saya tiada masalah untuk pakai jika diwajibkan, namun jika ada pilihan, saya tak akan pakai kerana tidak selesa ketika berniaga seperti bazar Ramadan,” katanya.

Di Kuala Terengganu, seorang pengunjung Bazar Ramadan Chabang Tiga, Maznah Che Hamid, 43, mendakwa ramai merasa tiada keperluan lagi untuk memakai pelitup muka berikutan menganggap penyakit tibi kurang berlaku di Terengganu.

“Berbanding negeri lain se­perti Sabah, Selangor dan Johor, saya rasa penularan tibi di negeri ini kurang ketara,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, 74 kes tibi baharu dikesan di negeri ini pada Minggu Epidemiologi keenam.

“Situasi tibi di Terengganu masih terkawal. Namun, saya nasihatkan terutamanya golo­ngan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit diabetes memakai pelitup muka apabila berada di lokasi sesak dan kurang pengudaraan,” katanya.

Di Melaka, seorang pengunjung bazar yang mahu dikenali sebagai Adibah, 40, memilih memakai pelitup muka selepas kes tibi telah melebihi 3,000 kes.

“Saya pakai pelitup muka sebab dengar kes dah lebih 3,000. Sekarang musim cuti, ramai orang keluar, jadi risau juga kalau merebak di tempat sesak macam bazar,” katanya.

Di Shah Alam, seorang pekerja swasta, Shahril Adha Hamsudin, 38, berkata, mungkin masih ramai tidak menyedari dan kurang mengambil berat mengenai risiko tibi, namun dia memi­lih untuk berpelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Ini melibatkan kawasan padat dan sempit termasuk bazar Ramadan. Jumlah individu yang memakainya hanya boleh dikira dengan jari,” katanya.

Ruslina Mahusin, 60, berkata, penularan dan peningkatan kes tibi termasuk di Selangor tidak boleh dipandang mudah terma­suk peniaga sepertinya.

“Kita tidak mengetahui siapa individu yang bergejala apatah lagi di kawasan sesak. Jus­teru, saya merasakan pakai pelitup muka itu juga perlu terutama bagi warga emas dan kanak-kanak,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN