KEJOHANAN Karom Beregu Piala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) Universiti Malaya (UM) yang berlangsung baru-baru ini telah mencatat kejayaan luar biasa.
Kejohanan itu berjaya menghimpunkan sebanyak 237 pasangan dari seluruh negara, merentasi pelbagai lapisan umur dan latar belakang.
Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum) dalam siaran akhbarnya memaklumkan, kejohanan yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam itu menjadi medan persaingan sengit.
Katanya, ia membuktikan bahawa sukan tradisional yang berasal dari Asia Selatan itu masih relevan, selain mampu menjadi platform penyatuan dalam kalangan masyarakat.
“Kejohanan ini dianjurkan oleh pasukan Misi Kemanusiaan Tempatan Borneo (MKTB) yang merupakan sebuah projek sukarelawan di bawah Sekrum dengan kerjasama Persatuan Karom Universiti Malaya di Dewan Al-Malik Faisal, Kolej Kediaman Ke-13 UM.
“Penyertaan yang diterima amat memberangsangkan kerana bukan sahaja disertai oleh pelajar universiti, malah menarik penyertaan peserta awam daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Pertandingan ini telah menyaksikan persaingan yang sangat kompetitif, terutamanya bagi merebut hadiah utama wang tunai sebanyak RM2,000,” katanya.

Menurut Sekrum lagi, setelah melalui beberapa perlawanan penentuan yang mendebarkan hingga ke tengah malam, gelaran juara keseluruhan akhirnya dimenangi oleh pasukan Kelab Karom Datuk Zul Wisma.
“Kejohanan ini membuktikan bahawa karom bukan sekadar permainan tradisional, malah merupakan sukan strategik yang menyeronokkan, mencabar minda dan mampu menyatukan pelbagai lapisan komuniti.
“Penganjuran berskala besar ini juga menjadi langkah penting dalam memastikan sukan karom terus relevan, biarpun dalam arus pemodenan yang semakin pesat,” katanya.
Kejohanan itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menceriakan suasana program.
Sepanjang acara berlangsung, para pengunjung dapat menikmati jualan makanan dan minuman seperti lemon ais, teh tarik, makanan ringan serta sate.
Selain itu, permainan mini seperti bubble mini dan gel blaster turut mendapat sambutan menggalakkan.
“Inisiatif sampingan ini bukan sahaja menambah kemeriahan, malah membantu pengumpulan dana untuk MKTB, serta membuka ruang keusahawanan kepada para pelajar.
“Secara keseluruhan, kejohanan ini jelas menunjukkan bahawa dengan perancangan rapi, sokongan institusi dan sambutan masyarakat, sukan tradisional seperti karom mampu diangkat menjadi acara berprestij, memberi impak serta terus berkembang pada masa hadapan,” katanya.














