fbpx
VOLVO ES90 disifatkan sebagai pilihan ideal untuk pelanggan yang mahukan keseimbangan antara eksklusiviti, kemampanan dan prestasi moden.

EV premium dengan aura Skandinavia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia automotif yang semakin rancak menuju elektrifikasi, Volvo Car Malaysia (VCM) tidak sekadar mengikut arus, sebaliknya tampil memperkukuh kedudukan dengan pelancaran sedan elektrik premium pertama, Volvo ES90.

Volvo melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan ES90 yang menandakan era baharu bagi kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi dan termaju dengan reka bentuk Skandinavia yang elegan.

Ditawarkan pada harga bermula RM339,888, model yang dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam, Selangor ini menjadi simbol transformasi Volvo dalam menggabungkan kemewahan sedan premium dengan teknologi elektrik generasi baharu.

ES90 disifatkan sebagai pilihan ideal untuk pelanggan yang mahukan keseimbangan antara eksklusiviti, kemampanan dan prestasi moden.

Dari sudut reka bentuk luaran, ES90 tampil dengan siluet fastback moden aura Skandivania yang bukan sahaja tampak elegan, malah membantu aspek aerodinamik.

Identiti lampu hadapan LED berbentuk tukul Thor kekal menjadi signatur Volvo, manakala lampu belakang dengan grafik berbentuk X memberikan sentuhan futuristik.

Walaupun dalam kelas sedan, ES90 menawarkan kedudukan pemanduan sedikit lebih tinggi dan ruang kargo yang luas iaitu 424 liter di ruang belakang dan 27 liter di bahagian hadapan (frunk).

Bagi model pasaran Malaysia, ES90 dipadankan dengan rim aloi 22 inci lima jejari dalam kemasan Matt Graphite Diamond Cut yang menyerlahkan karakter premium dan sporty dalam masa sama.

Model flagship baharu itu dibina di atas platform SPA 2 dengan sistem elektrik 800 volt yang membolehkannya dikenali sebagai antara EV paling efisien dan berteknologi dari Sweden.

Dari segi prestasi, ES90 tidak terlalu ekstrem seperti sesetengah EV sport, tetapi ia menawarkan prestasi yang seimbang dengan tork tinggi dan pecutan mantap.

Varian standard ditawarkan dengan satu motor elektrik menghasilkan pecutan dari pegun ke 100km/j dalam masa 6.6 saat, menjana kuasa 332hp dan tork maksimum 480Nm.

Sedan elektrik ini dilengkapi pek bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) dengan kapasiti 92kWh.

Bahagian dalam kenderaan ini menggunakan material Nordico dan dilengkapi bumbung panaromik kaca.

ES90 cukup responsif untuk penggunaan harian dan lebuh raya, menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350kW membolehkan bateri dicas dari 10 ke 80 peratus hanya dalam 22 minit.

Jarak pemanduan sedan elektrik ini juga mengagumkan dengan jarak maksimum 651km mengikut piawaian WLTP yang mana pemandu boleh merancang perjalanan jauh antara bandar tanpa risau atau ‘range axienty’.

Meninjau ke ruangan kabin, ES90 membawa pengalaman yang tenang dan mewah dengan rekaan berpegang kepada falsafah Skandivania yang minimalis.

Pemanduan juga terasa selesa dengan jentera ini yang menggunakan material berkualiti di tempat duduk jenis Nordico yang mempunyai pengudaraan.

Ia juga dilengkapi dengan bumbung panaromik kaca, pencahayaan ambien enam tema serta sistem pendingin hawa empat zon dengan penapis udara.

Pemanduan ES90 menenangkan dengan pengalaman audio Bowers & Wilkins 25 pembesar suara dan sokongan Dolby Atmos.

Siatem infotainment pula memanfaatkan Google terbina pada skrin tengah 14.5 inci serta paparan pemandu digital dan head-up display memastikan maklumat penting sentiasa dalam garis pandang.

Salah satu tarikan ES90, ia adalah model pertama Volvo yang menggunakan platform pengkomputeran Nvidia Drive AGX Orin yang menangani sistem keselamatan, sambungan dan pengurusan bateri.

Seperti tradisi Volvo, aspek keselamatan ES90 terus menjadi keutamaan dengan pelbagai sistem bantuan pemandu terkini yang direka untuk ‘menjaga’ pemandu dan penumpang dalam setiap perjalanan.

Aspek keselamatan merangkumi lima radar, tujuh kamera, 12 sensor ultrasonik, sistem pemantauan pandu serta amaran buka pintu bagi melindungi pengguna jalan raya lain.

Empat pilihan warna menarik ditawarkan bagi ES90 iaitu Vapour Grey, Crystal White, Denim Blue dan Onyx Black.

Kesimpulannya, Volvo ES90 adalah penanda aras baharu bagi sedan elektrik premium, bukan hanya dari sudut prestasi, tetapi juga dalam integrasi teknologi pintar dan keselamatan.

Ini menjadikan ES90 sebagai pilihan bijak kepada pengguna yang mencari EV premium dengan pengalaman pemanduan yang tenang, berteknologi dan serba moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN