PONTIAN – Penduduk yang terkesan dengan gangguan bekalan air sejak 7 Februari lalu bersyukur kerana tiada lagi Bekalan Air Berjadual (BAB) sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan negeri mulai kelmarin.
Penduduk di Kampung Parit Dato Onn di sini yang ditemui bersyukur dan kehadiran bulan Ramadan sebagai Rahmat kerana dapat menyelesaikan masalah yang mereka selama tiga minggu.
Maslizan A. Karim, 53, berkata, rumahnya dihuni oleh seramai lapan orang termasuk menantu dan cucu terkesan berikutan ketiadaan air sepanjang tempoh tersebut terutama untuk memasak dan membasuh pakaian. Katanya, ketika bulan Ramadan keperluan air turut meningkat untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur yang memerlukan bekalan yang mencukupi bagi memudahkan kerja yang dilakukan.
“Suami telah membeli dua buah tong besar penyimpanan air dengan harga RM300 bagi menyimpan air yang diambil dari lori tangki yang menghantar bekalan air bagi memastikan bekalan mencukupi. Selain sebuah tong besar yang diletakkan dihadapan rumah kerana pada bila-bila masa sahaja lori akan lalu bagi menghantar bekalan air,” katanya.
Bekalan air di Johor pulih sepenuhnya selepas mengalami gangguan sejak 7 Februari lalu.
Suriah Sawab, 68, pula berkata, sepanjang ketiadaan bekalan air, anaknya yang duduk di Pekan Nanas dan Parit Sikom menghantar air dua hari sekali ke rumahnya.
Katanya, selain dia dan seorang anak lekaki, rumahnya kerap dikunjungi oleh cucu-cucunya semasa kedua ibu bapa mereka kerja yang tentu memerlukan bekalan air mencukupi untuk mereka.
Menurut Suriah, memandangkan usia dan kudratnya yang berkurangan, dia tidak dapat mengangkat air yang dihantar oleh lori tangki atau mengambil air di tangki statik yang diletakkan di Surau Parit Dato Onn.
“Alhamdulilah, Allah makbulkan doa hambanya dan kini saya dan penduduk kampung ini tidak lagi menghadapi gangguan bekalan yang dialami air sepanjang tiga minggu lalu,” ujarnya.
Bagi Zabidah Samidi, 61, dia bersyukur kerana telah membuat persediaan awal dengan membina tangki air kekal penyimpanan air, namun bersimpati dengan penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tangki air statik.















