fbpx
Banyak jenama tempatan mula menjual koleksi raya sejak hujung tahun lepas mengikut batch by batch. - Gambar Janaan AI

2 pasang baju raya sama sebulan gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari ini kita sudah memasuki 3 Ramadan. Sambil memenuhi tuntutan wajib menunaikan Rukun Islam ketiga berpuasa, sudah pasti persiapan raya juga makin ligat dilakukan.

Ada yang membuat persiapan awal sejak hujung tahun terutama bab membeli pakaian raya bagi mengelakkan suasana sesak sehingga terpaksa berhimpit dengan orang ramai pada bulan puasa.

Ada juga individu yang melakukan persiapan secara berperingkat dan tidak kurang juga ramai yang membeli pada saat-saat akhir.

Kadang-kadang pembelian saat akhir menguntungkan sekiranya kita jenis yang tidak terlalu mengikut trend, namun saiz pula agak terhad.

Selain itu, pembelian saat akhir juga dapat mengelakkan golongan wanita menjadi rambang mata membeli berpasang-pasang baju raya yang akhirnya belum tentu dipakai pada hari lebaran.

Banyak jenama tempatan mula menjual koleksi raya sejak hujung tahun lepas mengikut batch by batch.

Jika dulu, pakaian raya wanita hanya terhad kepada jenama-jenama tertentu, tetapi sekarang banyak jenama lokal muncul di pasaran yang menawarkan pakaian dengan rekaan menarik dan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Minggu lalu kecoh di media sosial, orang ramai beratur panjang di sebuah pusat beli-belah untuk mendapatkan koleksi pakaian raya sebuah jenama tempatan.

Situasi itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen yang bukan dalam kalangan peminat jenama tersebut.

Ada yang telan air liur melihat harga pakaian jenama tersebut. Apa tidaknya, dua pasang baju sahaja sudah hampir sama dengan gaji minimum.

Bagi ‘pengikut’ jenama tersebut dan mereka yang berkemampuan, itu bukan isu. Orang kata ‘alah membeli menang memakai’, hanya jauhari yang mengenal manikam atau ‘raya kan setahun sekali’.

Sekarang ini ramai yang sudah bijak. Ada yang membeli pakaian mahal untuk pelaburan. Golongan tersebut sanggup beratur panjang untuk mendapatkan koleksi terhad.

Pakaian itu kemudian disewa semula kepada individu lain dengan caj serendah RM80 untuk tiga hari bagi majlis berbuka puasa, photoshoot raya, rumah terbuka Aidilfitri, istiadat konvokesyen dan lain-lain acara yang mempunyai tema tertentu.

Ada yang mengambil upah sebagai personal shopper selain ada yang menjual semula di platform tertentu pada harga yang lebih tinggi.

Walau apapun dalam berbelanja, kita perlu mengukur baju di badan sendiri, bukan sahaja mengukur saiz, tetapi mengukur dompet sekali.

Jangan sampai berhutang (buy now pay later) selama 12 bulan demi sepasang pakaian raya yang hanya dipakai sekali sahaja pada pagi Aidilfitri selepas itu terperuk di dalam almari.

Fikir masak-masak sebelum membeli adakah kita berkemampuan atau sekadar memenuhi trend fomo (fear of missing out) dan melaram ootd (outfit of the day) semata-mata, takut-takut nanti dah nak sambut raya 2027, hutang lama masih belum dilangsaikan.

Jadi pengguna yang bijak. Selamat berpuasa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN