fbpx
ORANG ramai sentiasa menantikan pengumuman dividen daripada KWSP.

Hadiah hari raya daripada KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Selalunya menjelang akhir bulan Februari hingga awal Mac setiap tahun, para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sentiasa menunggu dengan debaran tentang pengumuman kadar dividen yang pastinya bakal menjadi hadiah hari raya yang ‘manis’ buat semua ahli.

Bagi tahun 2024, kadar dividen yang diisytiharkan adalah 6.3 peratus untuk akaun Simpanan Konvensional dan Shariah.

Ini adalah satu angka yang memberangsangkan bersesuaian dengan faktor persekitaran ekonomi dengan perkembangan melonjak dalam pasaran ekuiti global serta peningkatan pendapatan pelaburannya sekali gus menggalakkan prestasi yang baik dalam pendapatan KWSP bagi tahun tersebut.

Angka ini juga adalah kadar dividen tertinggi yang pernah diumumkan oleh dana persaraan itu sejak tahun 2017.

Bersandarkan kepada faktor-faktor positif dalam pendapatan KWSP sepanjang tahun 2025, secara logik akalnya, KWSP bakal mengumumkan satu angka yang stabil berkemungkinan sama seperti tahun lalu iaitu dalam jajaran 6.3 peratus hingga 6.5 peratus.

Berita gembira ini nanti pastinya akan dimanfaatkan para ahlinya yang seramai hampir 17 juta orang yang mana sembilan juta daripadanya adalah ahli aktif, apatah lagi mereka yang memiliki ratusan ribu ringgit malah jutaan ringgit di dalam akaun masing-masing.

Bagi ahli yang berusia 50 tahun ke atas, peluang untuk menikmati tabungannya sejak mula dia mula bekerja bakal dituai dengan cara masing-masing tetapi akan dilaksanakan dengan cara yang berhemah agar tidak jatuh miskin bila tiba hari persaraan.

Ramai yang tidak mahu bekerja lagi pada usia 60 tahun, mahu bebas hutang dan hidup tenang sebagai seorang pesara yang hanya memikirkan tentang tahap kesihatannya agar terus stabil, sihat, cergas untuk beribadah serta menjalankan aktiviti harian dengan sebaiknya.

Ada yang sudah merangka untuk mendaftar kelas pengajian agama, kembali belajar mengaji Al Quran, ada yang sudah mula menyertai kumpulan aktif di surau dan masjid, ada juga yang mula meninjau pakej pelancongan mengelilingi dunia malah ada juga yang berkira-kira mahu menunaikan umrah setiap tahun.

Alangkah indahnya jika segala perancangan itu dapat direalisasikan dalam usia emas itu sambil menuai hasil daripada simpanan hari tua itu, terutamanya bagi mereka yang sudah lama bekerja di sektor korporat dan syarikat swasta.

Bagaimana pula dengan golongan muda yang memilih untuk bekerja sendiri dan adakah mereka serius memikirkan tentang untung nasib apabila usia semakin bertambah.

Itu pilihan mereka untuk mencari rezeki cara sendiri tetapi kepentingan untuk mencarum di dalam dana persaraan itu wajib dilaksanakan.

Tidak kiralah apa juga jenis bidang yang diceburi seperti berniaga di warung, restoran dan juga sebagai rakan penghantar, pastikan caruman anda di KWSP berterusan meskipun dengan nilai yang kecil kerana tabungan itu adalah antara yang paling stabil yang dapat membantu semasa kita berdepan kes kecemasan serta dana persaraan yang selamat pada usia emas nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN