fbpx
Salah seorang lelaki menunjukkan objek menyerupai muntah paus yang ditemui di Pantai Kelulut, Marang, Terengganu dua tahun lalu.

Tetap cuba nasib biar tahu modal lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Nilai muntah paus atau ambergris yang mencecah RM645,000 sekilogram membuatkan ramai orang bercita-cita menjadi jutawan jika terjumpa objek berharga itu di tepi pantai terutama pada musim tengkujuh di Pantai Timur.

Keadaan itu menyebabkan ramai berangan-angan mendapat wang besar apabila menemui objek yang menyerupai fizikal muntah paus sebenar ditambah pula selepas melakukan ujian sendiri seperti tidak tenggelam di laut, berbau seperti lilin dan mencair jika terkena jarum dipanaskan.

Ambergris yang dihasilkan paus sperma digunakan dalam industri minyak wangi untuk membuatkan bertahan lebih lama dan penyedap perisa dalam kopi serta telur.

Bagi mengukuh dak­wa­an, mereka tidak kisah me­ngeluar mo­dal antara RM550 hingga RM800 untuk melakukan ujian makmal setiap sampel bagi mendapatkan sijil pe­ngesahan ambergris supaya mudah dijual kepada pihak berminat.

Bagaimanapun, impian menjadi jutawan segera itu sehingga kini masih gagal apabila ujian mengesahkan tiada satu pun objek itu disahkan muntah paus sebaliknya hanya sisa lilin, minyak masak beku atau pelbagai bahan maritim lain.

Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Kanan Program Geosains Marin UMT, Prof. Madya Dr. Hazrizal Shaari berkata, mereka menerima lebih 300 sampel muntah ikan paus dihantar penduduk tempatan, Indonesia dan Thailand sejak hampir lima tahun lalu.

Katanya, mereka merupakan satu-satunya institusi yang mempunyai Makmal Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (CRAF) untuk pengesahan ambergris di Asia Tenggara.

“Ia menunjukkan betapa orang ramai teruja untuk mendapatkan wang besar dengan menghantar sampel seakan muntah paus kepada kami untuk diuji.

“Kami tidak putus-putus menerima penghantaran sampel un­tuk dianalisa terutama sepanjang tempoh Monsun Timur Laut dari Oktober hingga Mac setiap tahun,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Hazrizal, ia berlaku kerana banyak objek yang ha­nyut di perairan negara, Indonesia dan Thailand disebabkan ombak besar.

Tambahnya, setakat ini, tiada satu pun sampel yang dihantar itu disahkan sebagai ambergris sebaliknya hanyalah sisa lilin, minyak masak beku atau pelbagai bahan maritim lain selepas melalui ujian analisis kimia, struk­­tur dan thermal.

“Ambergris tulen mengan­du­ngi profil kimia spesifik de­ngan kehadiran unsur ambrein yang hanya boleh dihasilkan dalam sistem pencernaan paus sperma.

“Oleh kerana terlalu banyak sampel dihantar, kami boleh tahu setiap barang itu tulen atau sebaliknya. Selalunya kami berterus terang supaya tidak beri harapan palsu tetapi mereka tetap mahu mencuba nasib biarpun modal akan lebur,” katanya.

Hazrizal berkata, selain daripada individu mengaku menjum­pai sendiri objek disangka muntah paus terbabit, banyak juga sam­pel diserahkan ejen atau orang tengah yang berhasrat untuk menjual ambergris kepada pi­hak ter­tentu.

Katanya, adalah mustahil ambergris ditemui di Asia Tenggara kerana perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan bukan habitat paus yang memerlukan laut lebih dalam.

“Paus sperma atau Physeter ma­crocephalus tidak boleh hi­dup di perairan cetek. Perairan itu melingkari Semenanjung Ma­­laysia, Kepulauan Borneo, Si­ngapura dan sebahagian kepulauan Indonesia cetek kerana ter­bentuk daripada benua kuno, Pen­tas Sunda,” katanya.

Menurut Hazrizal, kedalaman kedua-dua perairan tersebut cuma 100 meter sekali gus tidak sesuai sebagai habitat paus sperma yang hidup di kedalaman ribuan meter.

“Makanan paus sperma ialah sotong gergasi yang hidup di laut dalam. Laluan biologi dan migrasi paus sperma yang menghasilkan ambergis juga jauh dari perairan negara iaitu di Lautan Hindi dan Pasifik,” katanya.

Tambahnya, ramai terpe­nga­ruh dengan kisah tular tentang nilai tinggi muntah paus sehingga mencecah jutaan ringgit tetapi realiti saintifiknya jauh lebih kom­pleks.

“Sebaiknya orang awam ti­dak sewenang-wenang me­nyen­tuh atau menyimpan objek dijumpai berkenaan kerana di­khuatiri sebenarnya cuma sisa industri laut tercemar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN