RAMADAN menjelang lagi dan seperti kelaziman pesta makanan juga kembali. Restoran-restoran dan hotel-hotel bersedia untuk menawarkan hidangan bufet berbuka puasa dengan aneka juadah.
Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) mempersembahkan Selera Muhibbah Buffet 2026 yang akan berlangsung dari 21 Februari hingga 19 Mac ini.
Bufet ini menawarkan lebih 200 hidangan warisan dan kontemporari Malaysia yang disediakan di 26 gerai, termasuk 10 stesen masakan secara langsung.
Bufet ini dihidangkan di Twenty7 Restaurant, Golf Lounge, dan Grand Ballroom TGCR, Petaling Jaya.
Antara hidangan baharu termasuk ayam mentega berkrim Delhi, ikan siraman lemon sutera, kambing rendang warisan, gulai bebek umbu Aceh, sajian hijau hutan belantara, daging aroma rebung lemak cili api, karamel nanas Bonda, kambing reneh Irrawaddy, kambing bakar haruman sutera bersama nasi mentari Chennai dan nasi cendawan berbumbu lima.
Pelanggan boleh menikmati jamuan buka puasa sambil diiringi persembahan ghazal dan dekorasi tradisional autentik.
Antara kemudahan yang disediakan adalah surau pusat baharu, ruang parkir percuma dengan perkhidmatan buggy.
Harga bufet bermula dari RM80. Harga untuk majlis peribadi (private event) pula bermula dari RM98++.
Dalam pada itu, sebagai menyambut ketibaan bulan mulia ini, TGCR bersama rakan kongsi Adabi Consumers Industries Sdn. Bhd. dan Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd. menganjurkan Majlis Bersama Anak-Anak Yatim & Rakan-Rakan Media baru-baru ini.
Seramai 90 kanak-kanak dari tiga rumah kebajikan dijemput. Rumah kebajikan tersebut ialah Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Hajah Kamariah, Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah dan Pusat Tahfiz Darus Syabab.
Kanak-kanak tersebut dijamu dengan bufet Selera Muhibbah. Mereka turut diceriakan dengan menerima duit raya, hamper dan beg hadiah.
Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan derma tambahan.
Aktiviti ini menunjukkan komitmen TGCR untuk menyokong komuniti yang kurang bernasib baik.
Pengerusi TGCR, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, TGCR berbangga menjadi ‘rumah’ kepada salah satu bufet terbaik di bandar.
“Bufet ini dapat direalisasikan melalui komitmen dan sumbangan pasukan TGCR dan cef. TGCR menjemput kanak-kanak dari tiga rumah kebajikan untuk mencuba bufet bersama.
“TGCR akan terus menyebarkan kegembiraan dan berkongsi pada tahun-tahun akan datang,” katanya.















