Kemudahan media sosial hari ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat. Ia bukan sekadar medium untuk berkomunikasi, malah menjadi ruang untuk berkongsi pandangan, meluahkan perasaan, menyebarkan maklumat dan membentuk persepsi awam.
Namun, di sebalik kemudahan dan manfaat yang ditawarkan, semakin ketara satu isu yang membimbangkan, iaitu kemerosotan adab dan akhlak dalam interaksi di alam maya.
Kebanyakan media, tidak kira sama ada sesebuah video, gambar mahupun status yang dipaparkan di media sosial didatangkan dengan kemudahan ruangan bagi pengguna meninggalkan komen.
Pandangan serta reaksi orang awam dapat dilihat jelas pada ruangan komen tersebut yang menunjukkan pelbagai kata-kata yang mengundang reaksi lain pula.
Selain kata-kata yang positif dan membina, jika kita meneliti ruangan komen di pelbagai platform media sosial, tidak sukar untuk menemui kata-kata kesat, sindiran melampau, penghinaan peribadi, hasutan kebencian dan tuduhan tanpa bukti.
Lebih membimbangkan, perÂkara ini sering berlaku tanpa mengira latar belakang usia, pendidikan atau status sosial. Seolah-olah media sosial menjadi ruang ‘bebas’ yang memboÂlehkan sesiapa sahaja berkata apa sahaja tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.
Hal ini sering terjadi kepada akaun palsu yang dicipta khas bagi meninggalkan komen yang negatif dalam masa yang sama dapat menyembunyikan identiti sebenar pemilik akaun tersebut.
Adab dan akhlak
Dengan identiti tersembunyi melalui akaun tersebut, sesiapa sahaja mampu meninggalkan kata-kata kesat serta berbaur kebencian tanpa rasa bersalah.
Perkara ini amat membimbangkan kerana segala komen dan kata-kata yang ditinggalkan pada mana-mana media yang terdapat di media sosial dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuklah para pelajar dan kanak-kanak yang sentiasa menjadikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka sebagai sumber rujukan serta contoh.
Oleh itu, adab dan akhlak tidak seharusnya terhenti di dunia nyata sahaja. Nilai yang sama perlu dibawa ke alam digital. Perkataan yang ditaip, walaupun tidak dilafazkan secara lisan, tetap mencerminkan keperibadian dan pemikiran seseorang mahupun bangsa sesebuah negara.
Apa yang ditulis boleh melukakan perasaan, mencetuskan konflik, malah merosakkan keharmonian masyarakat jika tidak dikawal dengan bijaksana. Dikhuatiri juga komen-komen negatif tersebut dianggap normal oleh kanak-kanak dan seterusÂnya diadaptasi oleh mereka jika tidak dikawal oleh orang yang lebih dewasa.
Jika ditelusuri, salah satu punca utama fenomena ini ialah sikap terlalu emosional ketika memberi respons. Ramai pengguna media sosial bertindak balas secara spontan, dipengaruhi emosi kemarahan, kekecewaan atau provokasi tanpa berfikir panjang, sedangkan kesannya mungkin berpanjangan.
Ada yang lupa bahawa setiap hantaran dan komen tersebut meninggalkan jejak digital berpanjangan yang boleh dibaca, disebarkan dan disalah tafsir oleh orang lain. Selain itu, budaya ‘viral’ juga menyumbang kepada masalah ini.
Demi meraih perhatian, sokongan atau populariti, ada pihak sanggup mengambil kesempatan dengan memuat naik ciapan atau kandungan yang tidak pasti akan kesahihannya.
Kandungan yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh dengan niat untuk menjadi antara pempengaruh pertama yang membuat sesuatu ciapan sebagai kandungan kadangkala menimbulkan salah faham dan fitnah kepada mangsa yang terlibat.
Cari populariti
Dalam konteks ini, unsur menjaga maruah orang lain telah diketepikan demi kepentingan diri sendiri yang mengejar jumlah bilangan penonton, pengikut serta like di platform media sosial tersebut.
Akibatnya, perbincangan yang sepatutnya bersifat ilmiah dan membina bertukar menjadi medan serangan peribadi dan perbalahan terbuka.
Lantaran itu, menjaga adab di media sosial sebenarnya bermula dengan perkara asas, iaitu berfikir sebelum menulis. Amalkan sikap bertanya kepada diri sendiri, adakah komen ini bermanfaat?
Adakah ia ditulis dengan bahasa yang sopan?
Adakah ia berasaskan fakta atau sekadar emosi? Jika sesuatu perkara tidak sanggup diucapkan secara bersemuka, maka ia juga tidak wajar ditulis di ruang awam digital.
Tambahan pula, dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan budaya sesebuah negara, adab berbahasa menjadi lebih penting. Sensitiviti agama, budaya dan latar belakang perlu dihormati.
Perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun cara meÂnyampaikannya menentukan sama ada perbezaan itu membawa kepada kefahaman atau perpecahan.
Peranan ibu bapa, pendidik dan institusi sosial juga tidak boleh dipandang ringan. Pendidikan adab digital perlu diterapkan sejak awal, bukan sekadar menekankan kemahiran menggunakan teknologi, tetapi juga tanggungjawab moral dalam berkomunikasi.
Media sosial seharusnya menjadi ruang untuk menyebarkan kebaikan, ilmu dan inspirasi, bukan medan mencaci dan menjatuhkan orang lain. Akhirnya, media sosial adalah cerminan masyarakat itu sendiri.
Jika kita mahukan ruang digital yang lebih sihat, harmoni dan beradab, perubahan perlu bermula daripada diri dan orang di sekeliling kita. Menjaga akhlak bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kemataÂngan dan kebijaksanaan.
Dalam dunia tanpa sempadan ini, adab ialah benteng yang memelihara maruah individu dan keharmonian bersama.
Dr. Faiz Masnan ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).














