“Susah hati, tak lama lagi puasa, nak sambut raya. Banyak duit nak pakai, gaji suami aku tak besar mana. Simpanan yang ada dah guna untuk persiapan anak-anak masuk sekolah.”
Itu luahan seorang kenalan baru-baru ini. Penulis memahami kondisinya, malah percaya ramai wanita sedang bergelut dengan situasi sama.
Perkongsian rakan itu mengingatkan penulis nasihat seorang tokoh perniagaan terkemuka. Ujarnya, wanita terutama suri rumah tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan suami apatah lagi jika hidup di bandar besar.
Meski isteri tanggungan suami, penulis bersetuju dengan kata-katanya. Hidup ini bukan setiap hari manis, ada ketikanya masam dan pahit. Pendek kata kena bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.
Mungkin ada yang terlepas pandang hobi dan skil sebenarnya boleh menjadi sumber kewangan. Misalnya, jika mahir seni kraf tangan atau hebat di dapur, mulakan dengan langkah kecil mengambil tempahan daripada saudara mara dan jiran tetangga.
Tidak salah mencuba, usahalah, mana tahu itu jadi pembuka rezeki untuk tambah pendapatan keluarga.
Sekiranya kurang yakin, anda boleh tambah skil dengan menyertai kursus jangka pendek ditawarkan pelbagai agensi dengan bayaran yuran rendah.
Antaranya Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat), GiatMara, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara) dan Kolej Komuniti menyediakan kelas bimbingan jahitan, masakan, seni tangan, kecantikan dan dandanan serta kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).
Sekiranya berkemampuan, anda boleh berguru dengan individu berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang. Contohnya, ramai penjual kek terkenal mengadakan kelas sama ada secara berkumpulan atau individu.
Penulis pernah menyertai kelas anjuran beberapa sifu kek dan manisan bagi menambah skil khususnya dekorasi. Lain guru lain caranya dan ilmu ini sangat berharga buat penulis. Bermula dengan hobi, penulis dapat menjana pendapatan tambahan ketika negara diuji pandemik Covid-19.
Tiada istilah rugi kita tambah ilmu dan kemahiran diri. Banyak peluang baharu boleh diteroka yang kadang kala kita tidak pernah terfikir mampu melakukannya. Apa yang penting usaha sampai jadi.
Kehadiran Saiyyidus Syuhur (penghulu segala bulan) kali ini diharap menjadi permulaan yang baik buat ramai wanita meningkatkan ekonomi keluarga melalui skil yang ada.
Semoga apa yang anda usahakan dipermudahkan Allah SWT, dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya. Amin.














