PROGRAM latihan kemahiran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh institusi pendidikan mampu membuka peluang kepada seseorang itu bergelar usahawan.
Salah seorang alumni TVET, Mohd. Hairul Ithnin, 41, mengakui, ilmu kemahiran TVET dipelajarinya amat bermanfaat hingga mampu membuka perniagaan sendiri.
“Saya merupakan bekas pelajar GiatMara di Segamat, Johor pada 2001 dan berjaya menamatkan pengajian serta memperoleh sijil kemahiran selepas enam bulan belajar.
“Saya memang berminat dengan bidang perniagaan, jadi dengan adanya ilmu dan kemahiran, saya mampu membuka perniagaan baik pulih barang elektrik, Vcool Engineering & Services,” katanya membuka bicara bersama K-Kampus.
Menurut anak jati Segamat itu, sebelum memulakan perniagaan, dia terlebih dahulu berkhidmat sebagai tenaga pengajar di GiatMara dalam bidang Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.
Menurut lelaki dikenali sebagai Hairul Vcool itu, sebelum dipelawa untuk berkhidmat dengan GiatMara, dia hanyalah pelatih biasa yang mengikuti kursus tersebut.
“Kemahiran saya mula terserlah apabila dipilih menyertai Pertandingan Kemahiran Malaysia ke -14 (Tahun 2004) ketika tahun pertama mengajar.
“Ketika itu, saya telah mendapat gelaran juara dan dinobatkan dengan Anugerah Tangan Emas Malaysia untuk keseluruhan bidang Penyejukbekuan Dan Penyaman Udara,” katanya.
Ceritanya, selepas empat tahun berkhidmat bersama GiatMara dan minat mendalam terhadap bidang perniagaan, dia nekad mengundurkan diri dan mengatur langkah berani.
“Maka pada 2008, saya telah mengambil keputusan berhenti berkhidmat bersama GiatMara dan berpindah ke Johor Bahru untuk membuka perniagaan ini.
“Ketika fasa awal perniagaan, saya bukan hanya fokus pada membaik pulih mesin basuh dan peti sejuk.
“Tetapi pada masa sama, saya juga ada membuat perkhidmatan servis dan baik pulih penyaman udara serta kerja-kerja pendawaian (wiring).
“Pun begitu, setelah beberapa tahun beroperasi, saya mahu memberi fokus kepada beberapa skop bidang sahaja.
“Justeru, saya membuat keputusan untuk fokus kepada membaik pulih mesin basuh dan peti sejuk sahaja sampailah sekarang,” tutur Hairul Vcool.
Jelasnya, selepas lebih sedekad bergelar usahawan, dia banyak mendengar keluhan daripada pelanggan tentang kesusahan mencari technician (juruteknik) dan kos repair mesin basuh serta peti sejuk yang sangat tinggi.
Disebabkan itu, Mohd. Hairul aktif berkongsi pelbagai video tutorial dalam media sosial miliknya mengenai punca kerosakan mesin basuh serta peti ais dan cara penyelesaiannya.
Ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu, titik tolak dia aktif memuat naik video perkongsian di media sosial adalah selepas dihubungi oleh seorang pelanggan yang tinggal jauh di pedalaman Sabah.
“Dia beritahu saya kesukarannya untuk mendapatkan juruteknik berdekatan.
“Juruteknik yang terdekat pun lebih kurang 50 kilometer dari kediamannya. Mereka meminta RM100 untuk upah checking (semak) sahaja, tidak termasuk alat ganti dan upah kerja.
“Dia mengakui tidak mampu untuk membayar jumlah tersebut kerana kos baiki pasti akan menjadi lebih tinggi.
“Jadi, dia meminta saya membuatkan satu panduan khas dalam bentuk video tutorial cara mengenal pasti punca kerosakan mesin basuhnya,” katanya.
Menurut Mohd. Hairul tidak menyangka video panduan yang dibuatnya telah berjaya menyelesaikan masalah dihadapi oleh lelaki tersebut dengan kos rendah.
Kini, dia telah berjaya menghasilkan ribuan video tutorial yang dikompilasikan dalam sebuah buku berjudul Buku Panduan Membaik Pulih Barangan Elektrik Rumah Anda Secara DIY.














