KANGAR – Kehadiran belon udara panas yang mendarat di kawasan sawah padi di sini menarik perhatian penduduk sekali gus mengimbau nostalgia Festival Udara Perlis yang pernah memeriahkan negeri ini suatu ketika dahulu.
Penduduk yang melakukan rutin pagi seperti bersarapan dan berkebun tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pengangkutan udara tersebut yang pertama kalinya mendarat di kawasan berkenaan.
Menurut seorang penduduk, Abdul Razak Ahmad, 60-an, pada mulanya dia menyangka bunyi yang didengarinya adalah bunyi pokok tumbang sebelum keluar untuk memeriksa keadaan.
“Saya terkejut apabila melihat belon besar berada di ruang udara berhampiran rumah saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Abdul Razak berkata, suasana meriah itu mengingatkannya kepada Festival Udara Perlis di Sungai Batu Pahat yang suatu ketika dahulu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti penerbangan seperti microlight, Cessna, helikopter dan pertunjukan payung terjun.
Tambahnya, sebelum ini Perlis meriah dengan aktiviti udara apabila anak-anak muda menerbang dan mendaratkan pengangkutan udara, manakala kehadiran belon udara panas serta paraglider yang menghiasi ruang udara Perlis sempena Pesta Angin Timur tahun ini mengamit memori lalu.
Sementara itu, juruterbang belon udara panas My Balloon Adventure, Atiqah Khairuddin berkata, penerbangan belon udara panas tersebut berlepas dari kawasan Empangan Timah Tasoh pada pukul 7.30 pagi.
“Ketinggian penerbangan boleh mencecah sehingga 600 meter. Kami terbang ke arah selatan barat dan menikmati pemandangan struktur batu kapur seperti Bukit Chabang dan Bukit Keteri,” katanya.
Penerbangan tersebut mengambil masa satu jam sebelum mendarat di kawasan sawah padi yang dituai di Kampung Behor Inai.-KOSMO! ONLINE














