STADIUM keramat sukan sepak takraw, Stadium Titiwangsa bakal menjadi ‘gelanggang keramat’ buat skuad negara apabila sorakan padu penyokong tempatan termasuk gendang ‘perang’ ditaruhkan sebagai senjata rahsia bagi menghadapi saingan Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2026.
Ketika ini, skuad negara bersemangat untuk menghadapi kejohanan berprestij itu yang membuka tirai pada 14 hingga 23 Mei itu.
Biarpun bakal berdepan cabaran getir untuk mengekalkan kesinambungan kejayaan cemerlang Piala Dunia edisi 2024 dan Sukan SEA Thailand tahun lalu, namun skuad negara mahu berdepan Thailand di pentas final.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan mengakui tekanan pastinya dirasai para pemain, namun dia percaya aura bermain di laman sendiri mampu menjadi pemacu motivasi luar biasa skuad negara.
“Saya harapkan pemain kita akan terus konsisten sebab kali ini kita bermain di tempat sendiri iaitu di Stadium Titiwangsa. Saya kira, kita menghadapi satu cabaran yang besar iaitu untuk mengekalkan prestasi.
“Selepas mencapai momentum dengan menjadi juara acara berpasukan dan juga regu di Sukan SEA, sudah pasti peminat sepak takraw di tanah air mahu melihat adakah pemain kita boleh konsisten bergelar juara.
“Itu yang amat penting, pada saya berdasarkan prestasi semasa, saya yakin dan percaya semua pemain akan mempamerkan semangat juang yang tinggi dengan kemungkinan ribuan penyokong Malaysia hadir ke stadium.
“Apapun, kita juga tidak boleh memandang mudah terutama cabaran sengit pasukan Thailand terutama selepas kekalahan mereka sewaktu di Sukan SEA tahun lalu,” katanya.
Pada edisi 2024 ketika menjadi tuan rumah, Malaysia berjaya muncul juara dalam acara regu serta beregu dan muncul naib juara dalam acara regu berpasukan.
Ketika itu, pasukan Thailand mengakui sorakan rakyat Malaysia di Stadium Titiwangsa ternyata memberi tekanan kepada mereka untuk mengekalkan aksi terbaik di Stadium Titiwangsa.
Katanya, debaran beraksi di hadapan ribuang penyokong Malaysia menyebabkan mereka hilang fokus untuk beraksi.
Malaysia selaku juara bertahan dalam acara regu diundi dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura, manakala bagi acara regu berpasukan, skuad negara berada Kumpulan B bersama India dan Myanmar.














