KUALA LUMPUR – Skuad berbasikal trek negara gagal mempamerkan aksi diharapkan pada Siri Piala Dunia Trek di Hong Kong apabila kempunan melangkah ke pusingan kedua dalam acara keirin lelaki serta pecut individu wanita hari ini.
Cabaran adik beradik, Muhammad Shah Firdaus dan Muhammad Ridwan Sahrom dalam acara keirin tersekat di pusingan pertama dan gagal melangkah ke pusingan kedua apabila masing-masing kecundang pada aksi repechage.
Ridwan yang turun pada saringan keempat repechage tidak dapat menamatkan perlumbaan apabila terlibat dalam kemalangan, sekali gus menyaksikan pelumba Perancis, Tom Derache dan Nikita Kiriltsev dari Rusia melangkah ke pusingan kedua.
Sementara itu, Shah Firdaus pula terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan apabila sekadar menamatkan saringan kelima di tempat ketiga di belakang Kevin Quintero dari Colombia dan pelumba Kanada, Nick Wammes.
Bagaimanapun, keputusan pelumba berusia 31 tahun itu sudah dijangka memandangkan ini merupakan kejohanan pertama buatnya dalam tempoh lebih setahun selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Pada masa sama, dua pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nur Alyssa Mohd. Farid turut berdepan nasib sama apabila gagal melepasi pusingan pertama dalam acara pecut individu.
Izzah yang turun berdepan pelumba Mexico, Yuli Verdugo pada saringan kelapan tidak mampu untuk mengatasi atlet berusia 29 tahun itu apabila tewas menerusi perbezaan masa 0.081 saat (s).
Kemudian, Alyssa yang membuat perhitungan dengan Hayley Yoslov dari Amerika Syarikat juga terpaksa akur tewas di pusingan pertama selepas menamatkan perlumbaan dengan perbezaan masa 0.113s. – KOSMO! ONLINE














