KELAB tempatan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) mempunyai tanggungjawab besar mengimbangi tuntutan kompetitif dan membuka peluang kepada pemain tempatan untuk berkembang.
Walaupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan pasukan mendaftar 15 pemain import, keputusan itu tidak bermaksud menyisihkan anak tempatan, sebaliknya ia bergantung kepada kemahuan pemain itu sendiri untuk kekal kompetitif merebut tempat dalam pasukan.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad berpendapat, aspek peningkatan kualiti pemain tempatan setakat ini juga bertambah, baik sekali gus membuktikan kredibiliti pemain tempatan masih cemerlang meskipun persaingan sengit dengan import.
“Nak dikatakan pemain tempatan dipinggirkan kerana ada ramai pemain import adalah tidak tepat kerana ramai juga pemain tempatan yang menyerlah musim ini seperti Ramadhan Saifullah dan Rodney Celvin yang cemerlang bersama Kuching City FC.
“Ada juga pemain-pemain muda yang cemerlang seperti Ubaidullah Shamsul Fazili dari Terengganu FC serta tonggak Selangor FC, Ahmad Zikri dan Nooa Laine yang bersaing secara sihat dalam kelab masing-masing.
“Penyerang senior tempatan seperti Safawi Rasid juga mempamerkan peningkatan prestasi bersama KL City dengan mengumpul 13 gol setakat ini. Apa yang penting di sini adalah keinginan pemain tempatan untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan masing-masing,” katanya.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Zakarian Rahim, setiap pasukan harus mempunyai gambaran kemampuan pasukan, sama ada mahu mendapatkan lebih ramai import atau pun sebaliknya.
“Tidak ada kelab yang nak tutup, semua mahu terus bersaing tetapi sejarah terbukti setiap tahun, menjelang musim baharu akan ada dua ‘lagu’ dimainkan, satunya ‘lagu’ kelab tutup dan satu lagi tuntutan gaji oleh barisan pemain.
“Jadi, MFL kena pastikan boleh ubah ‘lagu’ menjelang bermulanya musim baharu. MFL boleh tetapkan berapa kuota import yang dimahukan tetapi pandai-pandailah kelab untuk berbelanja,” ujarnya.














