fbpx
PELUMBA Team Visma-Lease a Bike, Jonas Vingegaard (kiri) berada dalam kelompok utama ketika bersaing di Giro d’Italia 2026.– AFP

Vingegaard nyaris jadi mangsa kemalangan ngeri Giro d’Italia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VELIKO TARNOVO, Bulgaria – Pendahulu keseluruhan Giro d’Italia, Jonas Vingegaard terselamat daripada insiden kemalangan besar yang melibatkan lebih 20 pelumba ketika perlumbaan peringkat kedua di Bulgaria, semalam.

Pelumba pasukan Team Visma-Lease a Bike itu menegaskan bahawa kemalangan tersebut berlaku betul-betul di hadapannya ketika kelompok pelumba sedang memecut menuruni laluan basah berbaki 23 kilometer menuju garisan penamat di Veliko Tarnovo.

“Mereka terjatuh betul-betul di depan saya. Ia memang sangat hampir. Laluan sangat licin dan saya cuma berharap semua pelumba yang terlibat berada dalam keadaan baik,” katanya.

Kemalangan tersebut menyaksikan beberapa pelumba termasuk Jay Vine, Marc Soler dan Adne Holter terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Pengarah sukan Visma-Lease a Bike, Marc Reef mengakui seluruh pasukan cemas sebaik mendengar laporan radio bahawa beberapa pelumba mereka turut terjatuh sebelum dimaklumkan Vingegaard berjaya melepasi situasi itu tanpa kecederaan.

PELUMBA Britain, Adam Yates mengalami kecederaan ketika terlibat dalam kemalangan beramai-ramai di peringkat kedua Giro d’Italia. -AFP

Selepas perlumbaan disambung semula, Vingegaard tampil agresif apabila melancarkan serangan pertamanya dalam Giro d’Italia 2026 di pendakian Lyaskovets Monastery Pass.

Pelumba Denmark itu menjelaskan tindakan menyerang bukan semata-mata mahu memburu jersi merah jambu, sebaliknya bagi mengurangkan risiko berada dalam kelompok besar ketika menuruni bukit menuju penamat.

“Kami sudah merancang perkara itu sejak awal. Dalam situasi seperti ini, lebih selamat jika berlumba dalam kumpulan kecil,” katanya.

Dalam perlumbaan penuh drama itu, pelumba XDS Astana, Guillermo Thomas Silva mencipta sejarah apabila memenangi peringkat kedua Giro d’Italia sekali gus muncul pelumba pertama dari Uruguay menjuarai satu peringkat Grand Tour.

Silva memenangi pecutan penamat selepas perlumbaan sejauh 221 kilometer dari Burgas ke Veliko Tarnovo berlangsung dalam keadaan hujan dan laluan berbukit yang berbahaya.

Meskipun gagal mencipta jurang masa, Vingegaard tetap berpuas hati kerana berjaya mengharungi satu lagi hari penuh drama tanpa mengalami sebarang kecederaan serius.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN