Baru-baru ini, media melaporkan mengenai keghairahan remaja dan kanak-kanak yang sanggup berhabis sehingga ratusan ringgit semata-mata untuk membeli blind box atau kotak misteri.
Trend membeli figura animasi misteri itu membuatkan ibu bapa terpaksa melabur wang setiap bulan demi memenuhi kemahuan anak-anak. Malah, ada yang sanggup mengenepikan wang simpanan kerana mahu menggembirakan anak-anak.
Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menyarankan supaya pemantauan dilakukan terhadap penjualan kotak misteri kerana dikhuatiri membawa mudarat kepada orang muda berbanding keseronokan kecil ditawarkan.
Naib Presiden Kebangsaan (Timur) MTPN, Datuk Mohd. Faiz Zulkifli dilaporkan berkata, tinjauan mendapati banyak kedai menjual blind box dibuka dan mendakwa kebanyakan penjual bijak memikat kanak-kanak dan remaja menerusi iklan berwarna-warni.
Fenomena itu menimbulkan persoalan fiqh yang wajar diperhalusi secara ilmiah terutama bagi mereka yang taasub dengan blind box.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, amalan itu pada zahirnya kelihatan seperti hiburan moden, namun hakikatnya mengandungi unsur-unsur yang perlu dinilai menurut neraca syarak antaranya gharar (ketidakpastian), israf (pembaziran) dan kecenderungan kepada unsur menyerupai perjudian.
“Secara asasnya, blind box merujuk kepada pembelian barangan tanpa mengetahui kandungannya. Pembeli hanya ketahui secara umum, tetapi tidak tahu item sebenar sehingga kotak dibuka.
“Keadaan ini secara langsung berkait dengan konsep gharar yang dibincang secara meluas dalam fiqh muamalat. Dalam hadis sahih: Rasulullah SAW melarang jual beli yang mengandungi gharar (Riwayat Sahih Muslim).
“Para fuqaha menjelaskan larangan ini bertujuan mengelak penipuan, ketidakadilan dan pertikaian dalam transaksi. Realiti semasa menunjukkan fenomena ini melangkaui batas hiburan,” katanya kepada Kosmo!.
Jelasnya, ramai pengguna khususnya golongan muda terdorong membeli berulang kali untuk mendapatkan item yang tertentu. Tingkah laku itu memperlihatkan elemen kebergantungan kepada nasib.
Dalam konteks ini, ia menghampiri konsep perjudian dari sudut kaedah, walaupun tidak sepenuhnya menepati definisi perjudian klasik.
“Walaupun blind box tidak secara langsung merupakan perjudian, namun apabila pembelian dilakukan berulang kali untuk memperoleh ganjaran tertentu, ia termasuk kategori yang perlu dielakkan menurut prinsip sadd al-dhara’i‘, menutup jalan yang membawa perkara haram. Isu paling ketara ialah pembaziran,” ujarnya.
Berdasarkan pertimbangan ini, hukum blind box jelas membawa kepada pembaziran, ketagihan dan kebergantungan kepada unsur nasib, maka hukumnya adalah haram kerana mengandungi unsur yang dilarang oleh syarak.
“Islam tidak menolak hiburan, tetapi menetapkan garis panduan agar ia tidak merosakkan akal, harta dan akhlak.
“Oleh itu, umat Islam perlu memainkan peranan mendidik anak-anak agar berbelanja secara berhemah serta menjauhi amalan yang boleh membawa kepada pembaziran dan unsur-unsur yang menyerupai perjudian,” tambahnya.












