KOTA TINGGI – Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili menerima lonjakan pembangunan apabila menerima peruntukan dana keseluruhan berjumlah RM1.5 juta menerusi Program Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar khususnya dalam aspek kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti setempat.
Menurutnya, antara projek utama ialah pemasangan lampu solar, baik pulih Tabika Kemas, naik taraf balai raya, pembinaan pagar masjid serta pembinaan mercu tanda kampung, yang kini menjadi ikon baharu Tanjung Sedili.
“Sebanyak tujuh projek pembangunan yang bermula September 2025 telah berjaya disiapkan dan diserahkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah Kota Tinggi untuk dimanfaatkan penduduk.
“Kejayaan itu membuktikan komitmen MINDEF dalam merealisasikan agenda kesejahteraan di bawah gagasan Malaysia MADANI tanpa meminggirkan komuniti desa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Kampung Angkat MADANI MINDEF di sini, kelmarin.
Hadir sama Ketua Setiausaha MINDEF, Mejar Jeneral (Kehormat) Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, program tersebut menggunakan pendekatan Whole of Government Whole of Society (WoGoS) yang menggabungkan pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat bagi memastikan manfaat lebih menyeluruh.
Katanya, inisiatif itu juga memperkukuh Kerjasama Awam–Tentera (CIMIC) serta meningkatkan kefahaman rakyat terhadap peranan ATM dalam Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (MOOTW).

“Pada 2024, program sama telah dilaksanakan di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi sebelum diperluaskan ke Kampung Tuan Seh pada tahun berikutnya sebagai kesinambungan usaha merapatkan jurang desa dan bandar.
“Secara nasional, kerajaan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi program berkenaan dengan setiap kampung menerima maksimum RM1 juta, namun Kampung Tuan Seh mendapat tambahan RM500,000 menjadikan jumlahnya RM1.5 juta,” katanya.
Beliau menambah, pemilihan kampung itu dibuat selepas tinjauan mendapati liputan kemudahan asasnya berada di bawah 50 peratus, sekali gus memerlukan intervensi segera daripada kerajaan.
Jelasnya, pelaksanaan projek memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk daripada 200 isi rumah yang majoritinya nelayan, petani kecil dan buruh, sekali gus merancakkan sosioekonomi setempat.
Kesemua projek dilaksanakan kontraktor tempatan dengan keutamaan kepada kontraktor Bumiputera melibatkan kerjasama MINDEF, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Kerja Jaya (JKR).
Berubah wajah
Sementara itu, Ketua Kampung Tuan Seh, Ali Bathor Ahmad Ramli berkata, inisiatif berkenaan telah mengubah wajah kampung yang sebelum ini serba kekurangan kepada penempatan yang selesa, ceria dan mempunyai kemudahan setanding kawasan lain.
Menurutnya, balai raya yang dahulunya kelihatan usang kini tampil dengan wajah baharu dan menjadi kebanggaan penduduk.
“Dulu balai raya ini agak uzur dan kurang sesuai untuk aktiviti masyarakat. Sekarang apabila sudah dibaik pulih, orang kampung rasa teruja dan lebih bersemangat untuk mengadakan program komuniti di sini.

“Selain itu, pemasangan lampu solar turut memberi manfaat besar terutama kepada kawasan yang sebelum ini gelap dan kurang selamat.
“Kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk pada waktu malam, malah mengurangkan kebimbangan berkaitan keselamatan,” katanya ketika ditemui.
Ali Bathor turut memaklumkan pembinaan gelanggang bola tampar dan pemasangan pagar di kawasan masjid telah meningkatkan kualiti hidup penduduk, khususnya golongan belia.
Jelasnya, sebelum ini, ramai anak muda terpaksa pergi ke kampung bersebelahan untuk bersukan kerana kemudahan di kampung sendiri amat terhad.
“Sekarang belia boleh berkumpul dan beriadah di kampung sendiri. Aktiviti sukan kembali hidup dan hubungan sesama mereka juga semakin rapat,” ujarnya.
Turut mendapat perhatian ialah kerja baik pulih Tabika Kemas yang sebelum ini mengalami kerosakan bumbung.
“Dengan keadaan yang lebih selamat dan selesa, ibu bapa tidak lagi bimbang menghantar anak-anak mengikuti pendidikan awal di situ,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pembinaan mercu tanda berbentuk ikan di laluan utama kampung menjadi tarikan baharu bukan sahaja kepada penduduk Tuan Seh, malah kepada pengguna jalan raya dari Mersing ke Pengerang.
Ujarnya, ramai yang singgah untuk bergambar dan secara tidak langsung mempromosikan kampung tersebut.















