fbpx
FADILLAH menyempurnakan gimik Majlis Perasmian Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Orang Asli Berasau, Kluang.

Kerajaan sasar 500 Kampung Angkat Madani sepanjang 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Kerajaan menyasarkan sebanyak 500 kampung di seluruh negara akan dijadikan Kampung Angkat Madani sepanjang tahun 2026 susulan impak positif yang diterima menerusi pelaksanaan inisiatif tersebut sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sasaran itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding dua tahun terdahulu sejak program berkenaan diperkenalkan.

Menurut beliau, sebanyak 43 kampung menerima manfaat pada tahun 2024 ketika ia mula dilaksanakan, manakala jumlah itu meningkat kepada 219 kampung pada tahun 2025.

“Inisiatif Kampung Angkat Madani diperkenalkan melalui Belanjawan 2024 dengan tujuan meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar menerusi pendekatan ‘Whole of Government’.

“Bagi tahun 2026, kita sasarkan 500 kampung berikutan impak positif yang dinikmati golongan sasar khususnya penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Orang Asli Berasau di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyananthan.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, projek naik taraf di kampung tersebut melibatkan peruntukan RM2.5 juta merangkumi pembangunan infrastruktur dan sosial.

“Antara projek dilaksanakan termasuk penyediaan bekalan elektrik 24 jam menggunakan sistem solar serta pembinaan balai raya berbumbung solar untuk kegunaan penduduk.

“Sistem solar berkapasiti lebih 50 kilowatt puncak bersama storan tenaga 516 kilowatt jam ini mampu membekalkan elektrik berterusan kepada lebih 20 buah rumah serta balai raya.

“Ini merupakan pelaksanaan pertama di kawasan kampung Orang Asli yang jauh dari jalan utama dan boleh dijadikan model kepada kampung lain,” jelasnya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM34.9 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif serta projek naik taraf di perkampungan Orang Asli di Johor sepanjang tahun 2024 dan 2025.

Menurutnya, Johor mempunyai lebih 18,000 masyarakat Orang Asli yang menetap di 60 kampung, dengan kesemua ketua isi rumah turut menerima manfaat menerusi Bantuan Kasih Johor.

“Bantuan tersebut merangkumi sumbangan RM200, bakul makanan serta kerja-kerja naik taraf infrastruktur kampung dengan peruntukan berjumlah RM1.67 juta,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN