BAYANGAN mengenai cuaca sejuk dan salji di Amerika Syarikat membuatkan hati Aizan Hakimi Rashid teruja untuk merasai pengalaman pertama seumur hidupnya.
Pelajar berusia 18 tahun itu akan tinggal bersama keluarga angkat selama enam bulan di wilayah Madison, Connecticut, Amerika Syarikat dan bersekolah di Daniel Hand High School.
Tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke luar negara, pelajar etnik Melanau dari Sarawak itu sempat membeli-belah baju sejuk sebagai persediaan menghadapi cuaca tersebut.
“Sebaik sahaja saya dapat tahu nama saya terpilih untuk program pertukaran pelajar di Amerika Syarikat, saya terus melakukan pencarian di internet tentang cuaca di sana dan persediaan yang perlu saya lakukan.
“Di Madison, suhu musim sejuknya pada waktu pagi berada di bawah paras -2 darjah Celsius dan saljinya juga sangat tebal.
“Saya tak sabar nak rasa pengalaman bermain salji,” katanya kepada K-Remaja.
Aizan Hakimi merupakan salah seorang daripada 23 remaja Program Kennedy-Lugar Youth Exchange & Study (YES) dari Malaysia yang berlepas ke Amerika Syarikat baru-baru ini.
Sebagai tanda pelepasan rasmi, satu majlis telah dianjurkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dengan kerjasama Yayasan American Field Service (AFS)
Antarabudaya Malaysia yang bertempat di Hotel Mercure Shaw Parade, Kuala Lumpur.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Misi, David Chip Gamble dan merupakan tanda tamatnya orientasi praperlepasan yang berlangsung selama dua hari.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah empat pelajar YES Abroad dari AS yang kini berada di Selangor dan Pahang bersama ibu bapa, alumni dan wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Program pertukaran pelajar kali ini disertai oleh seramai 23 peserta yang meliputi 19 orang Melayu, tiga Cina dan seorang etnik Melanau.
Para peserta bakal memulakan perjalanan selama enam bulan yang memfokuskan kepada penghayatan budaya serta pembangunan kepimpinan.
Untuk makluman, YES merupakan program pertukaran pelajar penuh biasiswa berprestij yang dibiayai oleh U.S. Department of State (Jabatan Negara Amerika Syarikat) dan ditawarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dari pelbagai negara di seluruh dunia.
PROGRAM ini dirancang supaya pelajar antarabangsa dapat hidup, belajar dan berinteraksi bersama keluarga serta komuniti di Amerika Syarikat sepanjang satu tempoh akademik.
Sejak tahun 2003, hampir 13,000 pelajar dari lebih 45 buah negara telah menyertai Program YES sekali gus membina hubungan jangka panjang antara rakyat Amerika Syarikat dan negara-negara peserta.
Kongsi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka itu lagi, dia turut teringin mencuba bola sepak Amerika (American football) yang berbeza dengan bola sepak biasa.
“Saya sudah berhubung dengan keluarga angkat saya menerusi e-mel dan FaceTime. Keluarga saya ada lima beranak iaitu ibu, bapa dan tiga beradik.
“Saya tak sabar mahu rasai pengalaman pergi ke sekolah bersama mereka dan mencuba pengalaman bermain sukan unik di Amerika iaitu bola sepak Amerika.
“Bola sepak Amerika ini lebih kurang seperti ragbi tetapi peraturannya tak sama. Jadi, saya teringin sangat mahu mencubanya,” katanya.
Bagi pelajar yang ingin menyertai Program YES, mereka perlu memenuhi beberapa syarat asas seperti berada dalam lingkungan umur yang ditetapkan iaitu sekitar 15 hingga 18 tahun.
Mereka juga perlu mempunyai prestasi akademik yang baik, menguasai asas bahasa Inggeris serta menunjukkan minat terhadap kepimpinan, khidmat masyarakat dan pertukaran budaya.
Selain itu, calon juga perlu bersedia dari segi mental dan emosi untuk tinggal bersama keluarga angkat serta menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan dan budaya di Amerika Syarikat.
Proses saringan program ini dijalankan secara ketat dan berasaskan merit, bermula dengan pengisian borang permohonan, penulisan esei, ujian penilaian dan sesi temu duga bagi menilai keperibadian, kematangan serta potensi kepimpinan pelajar.
Hanya calon yang benar-benar layak akan dipilih untuk menyertai sesi kemasukan program sebelum berlepas ke Amerika Syarikat sebagai duta kecil negara di peringkat antarabangsa.
Seorang lagi peserta YES, Putri Nurul Muthma’innah Mohd. Hafeez, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila mengetahui ibu angkatnya merupakan seorang Swiftie iaitu peminat setia penyanyi terkenal Taylor Swift.

“Saya memang minat Taylor Swift, jadi bila tahu ibu angkat saya juga seorang Swiftie, saya terus jadi lebih bersemangat dan tidak sabar untuk berjumpa dengannya.
“Saya yakin minat kepada pemuzik yang sama ini boleh jadi salah satu faktor yang memudahkan kami untuk rapat dan membina hubungan sepanjang berada di sana nanti,” katanya.
Putri Nurul Muthma’innah ditempatkan bersama keluarga angkat yang terdiri daripada tujuh ahli keluarga di Waterloo, Iowa.
Bekas pelajar dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu itu bakal mengikuti pengalaman pembelajaran di Union High School sepanjang program pertukaran di Amerika Syarikat.
Dengan bantuan ibu angkat yang sering dihubungi menerusi e-mel dan FaceTime, remaja berusia 18 tahun tersebut sudah pun memilih subjek-subjek yang diminatinya.
Tambah Putri Nurul Muthma’innah, dia turut membawa gula-gula tempatan, congkak dan batu seremban untuk dikongsi dengan keluarga angkatnya itu.
“Saya dan ibu angkat sering berkomunikasi dan dia beritahu saya yang dia teringin nak cuba bermain congkak dan anak-anaknya yang kesemuanya lebih muda daripada saya suka gula-gula.
“Jadi, saya buat keputusan untuk bawa congkak, batu seremban dan gula-gula zaman kanak-kanak Malaysia ke sana supaya mereka juga boleh lebih mengenali budaya saya,” katanya.
Para peserta dari Malaysia sudah pun berlepas ke Amerika Syarikat pada pukul 8 malam, 20 Januari lalu.
Sementara itu, salah seorang pelajar YES Abroad dari Amerika Syarikat, Omar yang kini bersama keluarga angkat di Pahang pernah mencuri tumpuan di media sosial apabila sudah mampu bertutur bahasa Melayu.
Pelajar dari Arizona, Amerika Syarikat itu kini menetap bersama keluarga Melayu dan bersekolah di sebuah sekolah menengah di Cenderawasih, Bukit Setongkol, Kuantan.
Kata Omar, 16, dia mengambil masa tiga bulan untuk berkomunikasi dengan lancar dalam bahasa kebangsaan.
“Saya baru sahaja tiga bulan berada di Malaysia dan sepanjang tempoh itu, saya cuba belajar bertutur dalam bahasa Melayu.
“Saya menyertai kelas Bahasa Melayu bersama cikgu pada setiap hari Jumaat.
“Ibu angkat saya juga bercakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan saya,” katanya.
















