LIPIS – Kejadian ketukan misteri di Kampung Bukit Betong di sini, terus berlaku semalam selepas rondaan yang dibuat oleh penduduk bagi memastikan keadaan kampung dalam keadaan selamat berakhir.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Betong, Badra Isa Abdul Hamid berkata, kejadian terbaharu dilaporkan berlaku di sebuah kediaman penduduk apabila penghuni mendakwa pintu rumah mereka diketuk kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, lebih 20 orang penduduk khususnya golongan belia, terlibat dalam rondaan malam yang bermula seawal pukul 10 malam hingga 4 pagi.
“Namun apa yang agak menghairankan, kejadian ketukan itu dilaporkan berlaku selepas rondaan tamat,” katanya di sini semalam.
Justeru, penduduk kampung akan terus meningkatkan tahap kewaspadaan dengan menjalankan rondaan malam secara berkala susulan kejadian ketukan misteri tersebut.
Badra Isa berkata, beliau sentiasa mengingatkan penduduk agar tidak mengambil risiko membuka pintu sekiranya mendengar ketukan yang mencurigakan, selain segera melaporkan sebarang kejadian luar biasa kepada pihak JPKK.
“Saya minta penduduk sentiasa berwaspada dan lapor segera jika terdengar ketukan atau ternampak kelibat mencurigakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Relong, Ishak Mohamed berkata, setakat ini tiada laporan baharu diterima daripada penduduk kampung terbabit berkaitan kejadian sama.
“Laporan terakhir yang kita terima adalah kira-kira seminggu lalu dan buat masa ini keadaan kampung berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah tambahan, pihak JPKK turut mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam dari luar kawasan bagi membantu mengesan punca kejadian misteri berkenaan.
“Alhamdulillah, setakat ini keadaan kampung berada dalam keadaan baik. Rondaan akan terus dilakukan oleh JPKK, belia dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sehingga hujung bulan ini,” jelasnya.
Sebelum ini, penduduk di beberapa buah kampung sekitar daerah Lipis dilaporkan resah susulan kejadian ketukan misteri yang berlaku pada lewat malam dan awal pagi, termasuk di Kampung Bukit Betong, Kampung Relong, Kampung Bapong dan Kampung Ulu Teris.














