SHAH ALAM – Sindiket penyeludupan migran menjadikan media sosial dan dark web sebagai ‘markas maya’ bagi mengatur kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara terancang ke negara ini.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, platform tersebut mempromosi perkhidmatan penyeludupan dan menyelaras pergerakan ejen dari darat hingga ke laut.
Katanya, situasi itu mendorong Maritim Malaysia (APMM) merangka strategi baharu yang lebih agresif termasuk unit pemantauan khas siber dalam memperkukuh risikan berkaitannya.
“Sindiket makin canggih dan tersusun. Pemantauan berterusan dilakukan untuk mengekalkan momentum kejayaan risikan sepanjang tahun khususnya semasa musim berisiko tinggi,” katanya.
Menurut Abdul Muhaimin, APMM turut memperkasa Program Gerak Saraf atau Program Sahabat Maritim kepada nelayan yang menyalurkan maklumat sahih berkaitan kegiatan jenayah di perairan.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menjelaskan, cabaran paling kritikal ketika menggempur sindiket ialah kecanggihan rangkaian jenayah, cuaca ekstrem ketika monsun serta kebocoran maklumat akibat kewujudan tali barut.
“Semasa monsun, ombak boleh mencecah empat hingga lima meter dan ini menyukarkan operasi pengejaran di laut. Pada masa sama, sindiket dibantu tali barut yang membocorkan pergerakan pasukan peronda,” katanya.
Mengulas peranan transporter laut dan boatman tempatan, beliau berkata, kumpulan itu menjadi tulang belakang logistik sindiket dari pangkalan haram ke rumah perlindungan.
“Pada tahun lalu, tiga orang awam berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan kerana menjadi transporter laut dengan upah sekitar RM300 bagi setiap migran,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















