KUALA LUMPUR – Lambakan penghantar makanan dan barangan tanpa kawalan jelas dikenal pasti antara punca utama kadar bayaran semakin menurun, sekali gus memberi tekanan besar kepada pendapatan pekerja gig ketika ini.
Presiden Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO), Masrizal Mahidin berkata, penilaian terhadap kadar bayaran semasa amat subjektif kerana setiap platform p-hailing menggunakan algoritma tersendiri tanpa sebarang piawaian atau kawal selia khusus daripada kerajaan.
Menurutnya, ketiadaan ketelusan algoritma serta garis panduan kadar minimum menyebabkan sukar untuk menentukan sama ada bayaran yang diterima rider benar-benar munasabah.
“Selagi tiada mekanisme kawal selia, ketelusan algoritma dan kadar minimum yang adil diperkenalkan, isu kadar bayaran ini akan terus menjadi rungutan berpanjangan dalam kalangan rider,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas perbandingan pendapatan penghantar antara tempoh 2020 hingga 2023 dengan keadaan semasa, Masrizal berkata, trend penurunan pendapatan jelas dirasai meskipun kadar asas kelihatan tidak banyak berubah.
Jelasnya, situasi itu dipengaruhi dua faktor utama iaitu jumlah penghantar yang terlalu ramai tanpa kawalan kemasukan serta permintaan pelanggan semakin berkurang selepas tamat tempoh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketika pandemik, permintaan berada pada tahap luar biasa tinggi. Kini, permintaan semakin normal, tetapi jumlah rider terus bertambah, sekali gus mewujudkan persaingan pendapatan yang tidak seimbang,” katanya.

makanan semakin merosot. – GAMBAR HIASAN
Dalam pada itu, beliau mendedahkan kebanyakan keputusan melibatkan perubahan syarat, bayaran dan upah oleh syarikat platform sering dibuat secara ‘unilateral’ tanpa rundingan bermakna bersama persatuan atau notis munasabah kepada penghantar.
Keadaan tersebut, katanya, berpunca daripada peruntukan undang-undang berkaitan pekerja gig dan sektor p-hailing yang masih belum diaktifkan sepenuhnya, sekali gus menafikan kewajipan rundingan tripartit yang adil.
Menyentuh dasar kerajaan, Masrizal berharap Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 benar-benar mampu melindungi hak dan kebajikan pekerja gig secara menyeluruh, termasuk isu bayaran, keselamatan sosial dan hak perundingan.
“Kami menantikan pengumuman rasmi daripada Menteri Sumber Manusia dan berharap undang-undang ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar berfungsi di lapangan,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran masa depan sektor gig akan menjadi semakin suram sekiranya pembaharuan dasar terus ditangguhkan.
“Jika dasar longgar dan lompang ini berterusan, sektor gig berisiko menuju ke arah ‘modern day slavery’, di mana pekerja terus terperangkap dalam kitaran pendapatan tidak adil, tidak stabil dan tanpa jaminan masa depan,” katanya.
Mengulas pertambahan jumlah rider, Masrizal berkata, berdasarkan rekod MEDO, lebih 2,000 rider berada dalam rangkaian persatuan dengan kira-kira separuh bekerja sepenuh masa.
Namun pada skala nasional, jumlah rider p-hailing dianggarkan sekitar 120,000 orang melibatkan platform utama seperti GrabFood, Foodpanda dan Lalamove, berdasarkan data caruman Perkeso di bawah Skim Lindung Kendiri bagi tahun 2025.
Katanya, angka itu membuktikan sektor p-hailing bukan lagi kerja sampingan semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi sektor pekerjaan berskala besar.
Menurut Masrizal, fleksibiliti kerja menjadi tarikan utama ramai individu menyertai sektor gig, termasuk pelajar, pekerja B40 dan M40 serta mereka yang terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi.
“Namun, syarat kemasukan yang terlalu mudah dan ketiadaan kawal selia komprehensif menyebabkan lebihan tenaga kerja yang akhirnya menekan kadar bayaran dan menjejaskan kelestarian pendapatan rider sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, selagi sektor p-hailing tidak dikawal selia melalui kerangka perundangan yang jelas, adil dan menyeluruh, isu lambakan rider dan penurunan upah akan terus berulang.
















