MENUNGGANG motosikal dalam keadaan salji tebal bukanlah sesuatu yang mudah bagi anak-anak tempatan yang tidak pernah merasai pengalaman tersebut. Cabaran itu disahut oleh 14 orang peserta Moped Winter Ride (MWR 2025) yang melibatkan 10 buah motosikal moped serta dua buah kenderaan sokongan iaitu Perodua Axia dan Perodua Myvi.
Turut serta dalam ekspedisi tersebut adalah bekas jaguh lumba negara, Hisham Ngadin yang menunggang Yamaha RXZ.
Ekspedisi selama 23 hari itu dianjurkan oleh Adventure Touring Malaysia (ATM) Kembara Asia dalam misi bersejarah mengharungi jarak keseluruhan kira-kira 8,500 kilometer.
Perjalanan bermula dari Kuala Lumpur, Malaysia merentasi Thailand, Laos dan seterusnya memasuki sempadan China sehingga ke kawasan pergunungan Deqin di negara tersebut.
Menurut ketua konvoi, Mustaazis Said, objektif utama ekspedisi ini adalah untuk menunggang dalam keadaan salji serta cuaca ekstrem dengan suhu mencecah sekitar –10°C.
“Cabaran ini berjaya diharungi oleh kesemua peserta hasil perancangan rapi dan pengurusan konvoi yang tersusun di bawah penganjuran ATM Kembara Asia.
“Ekspedisi ini membuktikan bahawa motosikal kecil juga mampu menawan cabaran besar, selari semangat small bike, big ride,” katanya kepada CitaRasa.
Bagi menghadapi cuaca sejuk dan suhu ekstrem, minyak enjin motosikal ditukar kepada minyak dengan gred kelikatan (viscosity) yang lebih rendah pada suhu sejuk iaitu 10W-40. Gred 10W menunjukkan minyak tersebut lebih cair ketika enjin sejuk sekali gus memudahkan proses menghidupkan enjin dan memastikan pelinciran awal yang baik.

Penggunaan minyak enjin yang terlalu pekat dalam cuaca sejuk boleh menyebabkan enjin sukar dihidupkan dan aliran minyak menjadi tidak lancar.
Sebagai persediaan awal untuk motosikal dua lejang seperti Yamaha RXZ, minyak 2T dibawa khas dari Malaysia kerana bekalan minyak 2T di China terhad dan sukar diperoleh. Namun, tidak bagi motosikal kategori moped disebabkan kekangan ruang penyimpanan dan bergantung stesen minyak atau pusat servis di China.
Sebelum konvoi bermula, peserta diberikan latihan dan taklimat bagi memastikan mereka bersedia dari segi mental dan fizikal menghadapi cabaran perjalanan dalam cuaca sejuk. Semua peserta dilengkapi dengan peralatan pelindung lengkap, termasuk jaket dan seluar ‘padding’ pada siku, lut dan kaki bagi mengurangkan risiko cedera sekiranya berlaku kejatuhan.
Berkongsi berkenaan cabaran yang dihadapi pesertanya, Mustaazis berkata, terdapat peserta yang mudah panik apabila dihujani salji yang lebat kerana ia menghadang pemandangan.
“Salji tebal menyebabkan sesetengah peserta panik dan menekan brek secara mengejut, mengakibatkan motosikal hilang kawalan di atas permukaan ais dan berlaku beberapa insiden terjatuh.
“Walaupun laluan mencabar tetapi trafik yang rendah membantu mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan peserta,” katanya.

Peserta dibawa ke lokasi-lokasi menarik sepanjang perjalanan, di samping merasai pengalaman menunaikan solat Jumaat bersama komuniti Muslim tempatan. Mereka turut melawat Kedutaan Malaysia di Kunming, China yang disertai dengan pelepasan rasmi oleh Duta Malaysia.
Tambah Mustaazis, ekspedisi tersebut dapat memperluas pengalaman sosial dan meningkatkan pemahaman terhadap adat serta budaya tempatan sepanjang konvoi.
“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan memberikan pengalaman berharga untuk meneroka cara hidup, adat resam serta tradisi tempatan.
“Ini sekali gus memperluas pengetahuan sosial dan meningkatkan pemahaman terhadap masyarakat setempat sepanjang konvoi,” katanya.
















