DALAM tempoh dua minggu pertama 2026, pelbagai isu panas membelenggu negara. Sebagai rakyat memang perasaan ketika ini tiada istilah untuk bertenang. Pihak istana sendiri mengeluarkan penegasan mengenai beberapa isu dalam negara. Demikian antara peringatan diberikan pembesar negara dan negeri baru-baru ini.
Paling mendapat perhatian berkait isu rasuah. Sehinggakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dua kali menzahirkan peringatan tegas terhadap bahayanya rasuah serta salah guna kuasa.
Pada 7 Januari lalu, Seri Paduka Baginda menekankan bahawa rasuah merupakan ancaman utama terhadap kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara serta tidak boleh ditoleransi dalam apa jua bentuk.
Selang dua hari kemudian, Seri Paduka Baginda sekali lagi bertitah agar dua elemen dalam Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang perlu dipelihara kerana ia memberi kesan secara langsung ke atas tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.
“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah Seri Paduka Baginda selepas berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada Sabtu lalu pula, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda turut mengusulkan agar wakil-wakil rakyat yang menyokong atau meluluskan perancangan tersebut untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat.
Tegas baginda adalah tidak munasabah untuk membenarkan masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama berulang dalam skala yang lebih besar, apatah lagi apabila kawasan itu majoritinya didiami masyarakat Melayu Islam.
Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah menzahirkan kebimbangan apabila sebahagian umat Islam hari ini dilihat seolah-olah kehilangan ‘kompas’ kehidupan, terperangkap dalam budaya mengejar kebendaan sehingga sanggup mengorbankan nilai, etika dan integriti.
Kelmarin pula, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menegaskan pendirian baginda terhadap gejala rasuah yang dilihat semakin berleluasa dan amat membimbangkan berikutan rasuah merupakan musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara.
Secara keseluruhan, titah empat pembesar negara dan negeri ini menzahirkan kesepakatan yang jelas bahawa kepimpinan mesti berteraskan amanah, keadilan dan tanggungjawab terhadap rakyat.
Titah-titah tersebut juga menekankan penolakan tegas terhadap salah guna kuasa, rasuah dan kecuaian dalam tadbir urus, kerana perkara-perkara ini boleh merosakkan kepercayaan rakyat serta melemahkan institusi negara. -KOSMO! ONLINE














