BERMULA sebagai kartunis di majalah Gila-Gila, Ujang membina reputasi kukuh selama hampir sedekad melalui karya ikonik seperti Aku Budak Minang, Atuk, Aca dan Usop Sontorian.
Selepas meninggalkan Gila-Gila, Ujang melakar sejarah apabila Usop Sontorian muncul sebagai animasi bersiri tempatan pertama Malaysia pada tahun 1995.
Karya itu sebenarnya terbit daripada evolusi idea terdahulu seperti Intelligent Blues Club dengan mengekalkan tema kehidupan kampung dan persahabatan kanak-kanak, satu teras yang tidak pernah terpisah daripada identiti kreatifnya.
Menariknya, dunia memancing hadir agak lewat dalam kehidupan Ujang.
Ia bermula bukan kerana minat, sebaliknya melalui penerbitan majalah memancing, Buletin Lubuk sekitar penghujung 1990-an. Melalui tugasan liputan, perkhemahan, trip pancing dan pergaulan dengan rakan sekerja yang kaki aktiviti outdoor, Ujang mula mengenali dunia memancing secara tidak langsung.
Pengalaman pertama memegang joran ketika membantu rakan menaikkan ikan menjadi detik ‘teracun’ yang sukar diubati.
Daripada kesilapan membeli peralatan hinggalah belajar teknik asas, Ujang perlahan-lahan mendalami dunia pancing, khususnya di Tasik Kenyir, Terengganu.
Lubuk pembelajaran itu memperkenalkan dia kepada dunia sport fishing dan potensi sebenar perairan tempatan.

Sebagai penerbit majalah, kos liputan memancing yang tinggi mencetus idea lebih besar. Ujang mengambil langkah berani membeli houseboat sendiri bagi menjimatkan operasi.
Musim monsun yang menjejaskan aktiviti dan ekonomi komuniti setempat membuka perspektif baharu iaitu bagaimana hobi memancing boleh menjadi pemangkin kepada sumber pendapatan.
Daripada situ lahirlah Monsoon Casting Tournament (MCT), satu acara yang bukan sekadar pertandingan, malah platform ekonomi komuniti dan produk pelancongan memancing.
Selepas lebih 17 tahun, MCT berkembang menjadi acara antarabangsa menerusi International Monsoon Casting Tournament (IMCT) dengan penyertaan pemancing dari Thailand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
Menurut Ujang, perkembangan industri memancing hari ini sangat memberangsangkan. Kepelbagaian teknik, kemajuan peralatan, penyertaan pemancing wanita, kayak fishing serta pencapaian pemancing tempatan di peringkat antarabangsa membuktikan hobi itu telah berkembang sebagai satu industri yang sihat.
Seperti kartun-kartunnya suatu ketika dahulu, dunia memancing bagi Ujang adalah tentang cerita, manusia, alam dan legasi yang ditinggalkan untuk generasi akan datang.















