Penganjuran Liga Perak Sejahtera Inter Parlimen 2025/2026 baru-baru ini merupakan suatu yang mengujakan peminat bola sepak Perak.
Manakan tidak, penganjuran liga sehingga 15 Februari depan dilihat mampu mengangkat arena bola sepak Perak ke peringkat lebih tinggi.
Ini kerana, penganjurannya dilihat dapat mencungkil bakat terpendam yang selama ini mungkin terlepas pandang selain peluang terhad bagi mereka untuk menonjol menerusi aksi di padang.
Sebagaimana diperkatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin sebelum ini, pemain-pemain berkualiti menerusi Liga Perak Sejahtera berpotensi untuk diserap ke skuad The Bos Gaurus di pelbagai lapisan peringkat.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada perancangan masa depan persatuan bola sepak berkenaan.
“Kita mempunyai pasukan Liga A1 dan Sukan Malaysia (Sukma) dan sedang membuat persediaan untuk Piala Presiden, justeru kita memerlukan lagi pemain-pemain. Saya akan minta pasukan teknikal untuk membuat tinjauan dalam kalangan 720 orang pemain Liga Perak Sejahtera.
“Mungkin 50 peratus pemain liga itu betul-betul berkualiti dan ini boleh dilihat sebagai satu platform awal untuk pemilihan menyertai pasukan Piala FA, Piala Belia, Piala Presiden. Kalau ada yang bagus kita boleh ambil untuk Liga A1 Semi-Pro,” katanya.
Pembangunan di peringkat akar umbi secara universalnya diakui penting tidak kira dalam bidang apa sekali pun, apatah lagi bola sepak.
Bagi sebuah pasukan seperti The Bos Gaurus, sudah tentunya bakat-bakat muda merupakan masa depan bagi mereka kerana mahu bergantung harap kepada pemain-pemain import sepenuhnya untuk meraih kejayaan adalah tidak relevan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini berkata, Perak tidak pernah ketandusan dalam menghasilkan pemain-pemain berkualiti seperti Roafandi Yusoff, Azizol Abu Hanifah, Khalid Jamlus, Shahrulnizam Mustapa dan Syamsul Saad.
“Mereka adalah anak Perak yang pernah mengharumkan nama negeri ini dan Malaysia. Sejarah gemilang ini sepatutnya menguatkan keyakinan kita bahawa bakat bola sepak Perak sentiasa ada. Asalkan anak-anak muda diberi ruang dan laluan betul untuk mereka berkembang,” katanya.
Kejohanan kali ini menyaksikan semua 24 kawasan Parlimen di Perak terlibat dalam Liga Perak Sejahtera berbanding penglibatan 14 daerah di negeri ini pada musim lalu, dengan hadiah keseluruhan ditawarkan bernilai RM30,000.
Dengan usia pemain Liga Perak Sejahtera dalam kalangan mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun, sudah tentu pencarian bakat-bakat muda menjadi lebih mudah kerana pastinya pemain masing-masing mahu mempamerkan kekuatan dimiliki.
Secara tidak langsung kejohanan tersebut juga dilihat mampu menarik minat golongan remaja yang mahu mendekati sukan bola sepak serta berhasrat menjadikannya sebagai satu daripada cabang kerjaya pada masa akan datang.
Ia sekali gus memperkasakan kembali pasukan The Bos Gaurus dan kembali menempa nama dalam arena bola sepak negara, suatu impian yang mahu dilihat oleh peminat pasukan itu terutamanya anak jati Perak Darul Ridzuan.















