fbpx
DARI kiri: Udang masak lemak cili api dan aneka kerabu.

Irama Signature tawar 199 juadah Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK dinafikan, masakan Melayu sentiasa dekat di hati masyarakat tempatan kerana kaya rasa serta sarat dengan budaya. 

Di Irama Signature, keistimewaan itu diterjemahkan melalui hidangan tradisional yang diolah secara ringkas dan kemas, tanpa menghilangkan keaslian rasanya. 

Membuka pintunya baru-baru ini kepada pengunjung di pusat beli-belah IOI City Mall Putrajaya, restoran itu menawarkan 199 pilihan sajian Melayu sambil dinikmati dalam suasana santai.

Ini menjadikannya restoran tersebut pilihan tepat untuk mereka yang menghargai makanan tempatan dengan pendekatan moden, namun tidak berlebihan.

Daripada lauk berempah sehingga sajian klasik yang biasa ditemui di meja rumah, setiap hidangan di Irama Signature disediakan dengan penekanan terhadap kualiti bahan dan keseimbangan rasa. 

Berkongsi dengan CitaRasa, Pengasas Irama Signature yang juga merupakan pasangan suami isteri, Arshad Kamarulzaman dan Bella Arshad berkata, matlamat utama restoran itu adalah untuk menyatukan menu-menu istimewa di  tujuh cawangan sedia ada mereka ke dalam satu destinasi.

“Irama Signature ini merupakan satu restoran yang menggabungkan menu-menu spesial di tujuh outlet kami. Jadi, kami gabungkan dalam satu menu.

“Itulah sebabnya kita panggil Irama Signature. Maksudnya, hidangan khas setiap outlet yang kami ada,” kata Arshad.

PAIS baramundi sajian wajib cuba.

Antara hidangan ditawarkan termasuk pais baramundi, udang sambal hijau betan, nasi goreng wagyu (100 gram potongan daging wagyu), kerabu platter, aneka jenis kerabu dan otak-otak kukus yang merupakan hidangan kegemaran peribadi Arshad dan isteri.

Selain masakan berat, restoran itu turut menyajikan kuih-muih dan manisan Melayu seperti cucur jagung, sagu gula melaka dan puding diraja.

Arshad menjelaskan, bagi mencipta kelainan, pihaknya mengaplikasikan pendekatan fusion dalam usaha memodenkan hidangan Melayu klasik yang ditawarkan.

“Kami mempelbagaikan menu dengan memberi sentuhan fusion kepada masakan Melayu. Ia bukan disajikan sepenuhnya secara klasik, sebaliknya dimodenkan.

“Sebagai contoh, hidangan masak lemak itik salai menggunakan krim sebagai pengganti santan.

“Ia bagi memperkenalkan rasa yang lebih segar tanpa menjejaskan identiti asli masakan Melayu,” katanya.

ARSHAD (dua dari kanan) dan Bella bergambar kenangan sewaktu pembukaan restoran Irama Signature di IOI City Mall Putrajaya baru-baru ini.

Irama Signature direka sebagai sebuah restoran mesra keluarga dengan kapasiti antara 148 hingga 150 tetamu. 

Restoran itu menawarkan suasana premium pada harga berpatutan, dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM150 bagi hidangan untuk lima hingga enam orang sekeluarga.

Selain itu, restoran tersebut dilengkapi tiga bilik makan peribadi serta kemudahan untuk menyediakan hidangan bufet sehingga 150 tetamu yang sesuai bagi penganjuran acara berskala kecil mahupun besar.

“Kami merancang menjadikan Irama Signature sebagai konsep restoran Melayu yang boleh dikembangkan dan dibuka di lebih banyak lokasi di seluruh negara. 

“Hasrat kami adalah untuk membina jenama yang kukuh dan berkembang di mana-mana saja,” ujar Arshad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN