fbpx
Penulis bersama rekod peribadi, mersuji hitam, saiz ini kira masih baby sahaja kerana ia boleh membesar berkali-kali ganda dari ini.

Pak Bara destinasi pancing wajib singgah tahunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TRIP memancing tiga hari dua malam di Pak Bara Thailand pada setiap hujung tahun telah saya jadikan sebagai satu agenda wajib.

Memancing bersama kumpulan saya ini dianggap sebagai satu trip pancingan yang santai untuk berehat menenangkan fikiran sambil melancong.

Kebiasaannya seusai trip, kami akan berjalan-jalan pula ke Hatyai untuk satu atau dua malam sekadar untuk membeli-belah buah tangan kepada keluarga.

Ikan-ikan tangkapan yang terbaik akan dibawa ke restoran untuk dimasak juadah ala Thai yang enak.

Trip pancing
Menyingkap kembali trip tersebut, seperti kebiasaannya selepas mendapatkan sotong hidup segar yang akan dijadikan umpan, kami terus ke lokasi pancingan.

Lubuk yang pertama terletak dalam jarak perjalanan bot sekitar dua hingga tiga jam. Kedalaman lubuk ini lebih kurang 60 ke 80 meter.

Ia merupakan satu kawasan karang bertompok tidak sekata dan menjadi rumah pelbagai jenis ikan karang seperti merah, jenahak, kaci dan pelbagai spesies ikan trevally.

Di trip ini kami banyak mencuba potensi lubuk-lubuk baharu dan kami juga tidak merasakan sebarang masalah kerana berdasarkan rekod trip yang lepas-lepas bersama tekong Abdullah, amat jarang kami pulang ‘tohong’, biasanya tong ikan kami penuh sahaja, pasti akan ada hasil yang amat memuaskan.

Di hari pertama trip ini sahaja kami sudah bergasak dengan pelbagai jenis ikan gred baik seperti ebek, jenahak dan tenggiri.

Bergasak alu-alu
Awal pagi hari kedua bot berpindah ke lubuk baharu. Di sini kami seperti berada betul-betul di atas ‘rumah’ ikan alu-alu sirip kuning atau ada pemancing memanggilnya sebagai ikan kacang.

Kami diasak kumpulan alu-alu tanpa henti, sekeliling bot peman­cing menaikkan ikan yang sama. Banyak juga kes tali perambut putus akibat dipotong gigi alu-alu yang tajam.

Oleh kerana tekong menunggu masa dan arus yang sesuai sebelum beralih lubuk, maka terpaksalah kami layan alu-alu ini tanpa henti sampai jumlah tangkapan keseluruhan ikan ini mencecah 61 ekor tetapi semuanya kategori saiz remaja yang nakal.

Apabila sampai saatnya arus yang sesuai, barulah tekong bergerak ke lubuk yang baharu. Sebaik sahaja sampai, saya terus mencapai joran yang telah dipadankan dengan kekili spinning.

Saya ingin mencuba kaedah ber­hanyut umpan ikan selar mati dengan menggunakan botol air mineral 1500ml kosong sebagai pelampung.

Perambut sepanjang lima depa saya gunakan dengan harapan ada ikan tenggiri yang sudi membaham umpan. Umpan dihanyutkan lebih kurang 50 hingga 60 meter di belakang bot.

Marlin
Selepas menunggu dalam satu jam, sayup-sayup kelihatan seekor ikan seperti ikan layaran (sailfish) melompat-lompat, saya buat tidak tahu sahaja kerana perairan ini memang banyak layaran dan ia sentiasa melakukan lompatan akrobatik setiap kali mengejar kawanan ikan-ikan kecil.

Tiba-tiba joran saya menunduk dan drag berdesing bingit memuntahkan tali keluar dari kekili.

Rupa-rupanya ikan sudah membaham umpan yang saya hulurkan dan tiga bilah mata kail yang diikat serangkai pada hujung perambut itu pasti tertancap kukuh di mulutnya membuatkan ia marah dan menggila melompat ke permukaan air.

Joran saya angkat dan ikan terus dipam perlahan-lahan, lebih 10 minit kemudian barulah ia dapat dirapatkan ke bot dan alangkah terperanjatnya saya kerana ikan layaran yang disangka awal tadi rupa-rupanya ikan mersuji hitam (black marlin).

Dengan pantas awak-awak bot mencapai paruh ikan mersuji tersebut dan terus menariknya ke atas bot. Saya sempat bergambar dan menimbang berat ikan tersebut kerana ia merupakan rekod peribadi pertama dalam hidup.

Sangkaan saya beratnya melebihi 20 kilogram (kg), namun ia hanyalah seberat 17.86kg. Mersuji hitam itu dilepaskan kembali ke laut dengan selamat.

Tidak lama selepas itu Tok Mi mendapat seekor ikan yang jarang sekali kami perolehi iaitu wahoo berumpankan seekor ikan tamban mati yang dihanyutkan di belakang bot.

Waktu malam dihabiskan dengan pancing dasar untuk menambah hasil tangkapan supaya kami dapat pulang dengan tong yang penuh setiap orang.

Keesokan hari, dalam perjalanan balik ke jeti, tekong melabuhkan sauh seketika di pesisir pantai untuk memeriksa keadaan enjin dan menambah minyak. Tok Mi mengambil kesempatan mengilat gewang dan dia dihadiahkan seekor ikan tenggiri sebagai bonus.

Selanjutnya bot terus bergerak ke jeti dan kami sampai satu jam kemudian. Trip ini kami dapat ikan spesies pelagik yang bermain di perimeter pertengahan dan permukaan air lebih daripada ikan spesies demersal iaitu yang hidup di dasar laut.

Apa-apapun kami sentiasa menunggu trip susulan dengan perasaan yang berkobar-kobar untuk memperbaiki rekod tangkapan yang sedia ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN