PORT DICKSON – Seorang ibu tunggal mualaf gigih mencari nafkah dengan menjual nasi kerabu di Bandar Sunggala, di sini selepas kematian suami kira-kira tiga tahun lalu.
Fatihachong Abdullah, 37, berkata, dia menjadi ketua keluarga selepas arwah suaminya, Zahari Ishak meninggal dunia pada 2022 akibat serangan jantung. Dia memeluk Islam sejak 2008.
Katanya, selepas kematian suami, dia bekerja semula sebagai kakitangan pusat pemulihan dalam komuniti selama hampir tiga tahun.
“Saya dan suami pernah berniaga bubur nasi dan nekad berhenti kerja serta belajar cara membuat nasi kerabu yang enak melalui komen yang diberikan oleh anak-anak.
“Mula-mula memang sukar (setelah kematian suami), namun alhamdulilah saya dan anak-anak bersama-sama mengharunginya. Saya banyak belajar agama dengan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Bandar Sunggala di sini.
Menurut Fatihachong, dia berniaga nasi kerabu bersama rakan kongsi, Qairul Mohammad Sufi, 42, yang sebelum ini merupakan cef di hotel sejak setahun lalu.
Tambahnya, dia yang berulang lebih 20 kilometer untuk berniaga di Bandar Sunggala berkata, setiap hari jualan adalah 50 ke 60 bungkus nasi kerabu dan kebiasannya laris terutamanya pada musim cuti.
“Sebelum ini dalam sebulan ke dua bulan, saya ambil dari penjual lain, namun saya tak mampu tanggung kos ulang alik dan minyak, jadi saya nekad belajar dari rakan kongsi serta melihat resepi di Tiktok.
“Alhamdulilah, nasi kerabu air tangan mualaf seperti saya ini yang bukanlah berasal dari Kelantan dapat menarik pelanggan tetap,” katanya yang menjual nasi kerabu serendah RM8 bagi ayam bakar sehingga RM15 bagi nasi kerabu kambing bakar.
Ujar Fatihachong, dua daripada tiga anaknya merupakan penghafaz al-Quran dengan anak sulung, Muhammad Ishaq Zahari, 18, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Rembau bergelar hafiz pada Julai 2025.
“Anak kedua, Khadijah Nur Insyirah, 17, yang menuntut di sebuah sekolah agama di Linggi sudah menghafal 26 juzuk al-Quran, manakala anak ketiga, Muhammad Ithar baharu yang berusia 10 tahun masih bersekolah rendah,” katanya.















