PETALING JAYA – Seorang gadis terpaksa melalui kehidupan yang berliku apabila sering diejek kerana kekurangan dirinya sebelum dia menjadikannya sebagai sumber kekuatan sehingga berjaya ke menara gading dan mendapat pekerjaan.
Nurain Hairulhaizuren, 28, yang dilahirkan dengan kecacatan mata dan sumbing berkata, dia kini boleh menerima kenyataan walaupun satu ketika dahulu dia pernah rasa tidak bersyukur dan mempertikaikan keadaan dirinya.
Katanya, dia telah menjalani 20 pembedahan di muka sejak kecil dan memberitahu jangkitan kuman pada mata menyebabkan salah satu pancainderanya terpaksa dibuang.
“Masa kecil saya banyak dihabiskan di hospital. Pembedahan itu ada yang berjaya dan gagal. Walaupun keadaan saya berbeza, saya masih belajar secara normal macam orang lain.
“Saya berjaya dapat ijazah dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHOM). Sokongan ibu bapa menjadi faktor utama menguatkan semangatnya untuk terus positif,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Nurain, pengorbanan ibu dan bapanya membuatkannnya bersemangat dan kuat walaupun ada kalanya dia merasakan tidak bersyukur dan mempertikaikan mengapa ia terjadi kepadanya.
Tambahnya, dia telah diajar untuk bergaul dengan orang sejak kecil dan ia menjadikannya yakin untuk berjumpa masyarakat.
“Cabaran paling besar apabila melangkah ke alam pekerjaan. Dua tahun saya mencari kerja walaupun ada ijazah disebabkan stigma terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) oleh kebanyakan syarikat,” katanya.
Ujar Nurain, ketika banyak syarikat yang yang tidak mesra OKU, dia bersyukur akhirnya mendapat kerja walaupun tidak sama dengan bidang dan setaraf dengan ijazah yang
dimilikinya.
Katanya, dia mula aktif membuat siaran langsung di TikTok dan tidak menyangka platform tersebut menjadi sumber kekuatan baru.
“Walaupun ada yang memberi komen negatif, namun lebih ramai yang memberikan respon positif dan itu membuatkan saya bertahan.
“Ramai yang bagi kata semangat. Memang ada juga komen jahat, ada yang ejek, ada yang kata saya pakai ‘filter’, tetapi saya sudah biasa, saya abaikan
saja.
“Kadang-kadang bila di luar, ada juga orang akan pandang-pandang. Ada juga budak yang ejek saya, sengaja saya akan takutkan mereka,” selorohnya.
Ain menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk menyembunyikan diri atau berhenti berkongsi kandungan di media sosial kerana percaya kehadirannya mampu memberi kekuatan kepada orang lain yang senasib dengannya.
“Kalau fikir pasal orang, sampai bila-bila kita akan terperangkap di situ sahaja. Orang lain tidak merasa apa yang kita lalui. Jadi teruskan hidup dan jangan mengalah. Hidup mesti diteruskan,” ujarnya.















