JERANTUT – Masalah ‘belang harimau’ atau durian tidak masak serentak menjadi cabaran kepada pekebun raja buah itu yang telah menyebabkan kualiti buah terjejas sehingga harga jatuh sekarang ini.
Akibat masalah belang harimau itu, durian itu termasuk musang king didapati mempunyai tompokan hitam seperti lebam dan kualiti terjejas.
Pekebun durian, Lim Kim Chooi, 62, berkata, masalah belang harimau ini telah membuatkan ramai terpaksa menjual buah di bawah harga pasaran memandangkan lambakan raja buah berkenaan.
“Keadaan ini sudah berlarutan dan setakat ini kami tidak tahu apakah puncanya, sama ada serangan penyakit, faktor pembajaan, keadaan tanah dan sebagainya.
“Jadi kita harap pihak berkenaan khususnya jabatan pertanian dapat turun padang mengenal pasti apakah punca dan apakah langkah mengatasinya,” katanya di sini semalam,
Jelasnya, serangan belang harimau itu berlaku di seluruh negeri termasuk di daerah Jerantut, Raub dan Bentong yang mempunyai banyak tanaman musang king.
Dalam pada itu seorang peraih durian, Ahmad Mustapa, 47, berkata, dia terpaksa mengehadkan jualan musang king pada masa ini memandangkan buah berkenaan diserang belang harimau.
Katanya, pada masa ini dia hanya mengambil bekalan durian musang king daripada pokok-pokok durian tertentu sahaja yang tidak merekodkan serangan penyakit berkenaan.
“Memang banyak pekebun yang mahu menjual durian musang king tetapi saya hanya ambil sedikit sahaja kerana tidak mahu menanggung risiko kerugian akibat buah yang rosak,” katanya.
Sementara itu, Pakar Jabatan Sains Tanaman Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Firdaus Ismail berkata, tiger stripe menyebabkan isi durian menjadi seakan lebam dan menjejaskan rasa serta kualiti buah berkenaan.
Katanya, pada masa ini tidak dipastikan punca sebenar keadaan ini sama ada disebabkan oleh faktor cuaca, serangan penyakit, keadaan tanah, faktor pembajaan atau faktor-faktor lain.















