BACHOK – Ketika kebanyakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sibuk mencari pekerjaan sambilan, seorang remaja memilih laluan berbeza apabila ditawarkan sebagai imam rawatib sementara keputusan peperiksaan diumumkan pada Mac depan.
Imam rawatib ialah imam lantikan masjid untuk membantu mengimamkan solat fardu terutama di tempat yang mempunyai imam tetap lantikan pejabat agama, tetapi tidak mencukupi.
Ahmad Ameerul Ameen Azaha, 17, sedang melalui beberapa sesi temu duga selepas menerima tawaran dari beberapa masjid di Kota Bharu termasuk Masjid Imanul Fa’izin atau Masjid Andalusia di Padang Kala.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok itu, pada awalnya dia merancang untuk mengambil lesen motosikal dan mencari pekerjaan sambilan.
Bagaimanapun, ibunya mencadangkan supaya dia menyertai program di bawah Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebelum keputusan SPM diumumkan.
“Sejujurnya saya sudah terima panggilan daripada tiga buah masjid untuk mengisi kekosongan imam tarawih pada Ramadan akan datang. Saya perlu membuat keputusan mengikut waktu atau lokasi yang terbaik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di SMKA Tok Bachok kelmarin.
Hafiz al-Quran itu berkata, antara program yang disertainya adalah Pratahfiz dan Bahasa Arab Darul Quran sekali gus membuka ruang untuk menyusun perancangan jangka panjang dalam bidang al-Quran.
Katanya, hasrat menyambung pengajian dalam bidang qiraat memerlukan proses hafazan semula selain sijil diiktiraf, namun pengalaman sebagai imam rawatib atau imam tarawih disifatkan sebagai medan terbaik untuk mengekalkan hafalan.
“Ganjaran material bukan matlamat sebenar. Sebagai penghafaz, menjaga nilai al-Quran itu lebih penting. Apabila ditawarkan jadi imam ia platform terbaik untuk kekalkan hafalan. Rezeki itu urusan Allah SWT,” katanya.
Anak kedua daripada lima beradik itu turut menyimpan impian untuk kembali berbakti kepada sekolah lamanya sebagai guru pendamping, khususnya dalam menganjurkan aktiviti pengukuhan bacaan al-Quran di luar waktu persekolahan.
“Saya bercadang untuk melaksanakan program pengukuhan bacaan qiraat, tajwid dan al-Fatihah melibatkan pelajar tingkatan satu hingga enam sebanyak dua kali seminggu. Hasrat ini sudah lama dirancang tapi belum dimaklumkan,” ujarnya.
Usaha itu diharap dapat menjadi sumbangan kecil dalam melahirkan generasi muda yang lebih dekat dengan al-Quran sekali gus menyemai semangat kembali berbakti kepada institusi yang membentuk jati dirinya.














