fbpx
Antara ikan kejor yang kami dapat ketika trip.

Ekspedisi memancing ke Hulu Kening

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Lokasi ini merupakan tempat pancing yang baharu bagi saya. Trip kali ini disertai tiga orang rakan yang lain bersama tekong bot, Che Mahmud dan pembantunya, Jalal. Pada pukul 9 pagi, kami memulakan perjalanan menggunakan sebuah bot kayu panjang dengan enam orang pe­numpang.

Baru 10 minit bergerak, kami sudah terpaksa turun dan membantu tekong menolak bot disebabkan paras air yang sangat surut. Lima minit selepas itu, sekali lagi kena turun tolak bot, kemudian lagi dan lagi.

Kesudahannya, tidak terbilang berapa kali menolak bot sehingga kami tiba di Jeram Perahu kira-kira pukul 2.30 petang.

Selepas itu, tekong bot menukar bot kayu panjang kepada scanoe, kami terpaksa menapak serta meniti batuan sejauh kira kira 150 meter bersama beberapa barangan peri­badi yang dibawa bersama untuk melepasi jeram.

Tekong pula bersama pembantunya berusaha melepaskan scanoe daripada jeram dengan beberapa barangan berat.

Selepas melepasi jeram, kami memuatkan semula barangan ke dalam scanoe, seterusnya berjalan kaki semula sejauh 70 meter lagi.

Penat dan letih tidak terkata, cadangnya saya hendak berehat sekejap sahaja di tepi batu, tetapi tertidur kepenatan.

Sedar sahaja, barangan sudah penuh di hujung kaki.

Rasanya taubat untuk meman­cing kelah apabila perkara sebegini terjadi dengan usia yang tak berapa muda.

Namun ibarat sambal belacan, semakin pedas semakin sedap dimakan.

Kemudian, saya melihat tekong mengeluarkan bot kayu panjang yang disorokkan di sebalik semak bersama enjin sebagai ganti bot kayu panjang utama tadi.

Kami membahagikan barangan ke dalam bot ganti tersebut dan beberapa barangan lagi ke dalam scanoe.

Pada pukul 3.30 petang, kami bergerak semula dengan lima orang dalam bot panjang, manakala pembantu tekong berseorangan mengemudi scanoe.

Selepas setengah jam bergerak, enjin scanoe pula bermasalah, hampir satu jam membaikinya.

Sebaik sahaja gear dimasukkan, shaft pula patah, kesudahannya scanoe terpaksa ditarik dengan bot panjang.

Pada pukul 4.30 petang, kami tiba di sebuah tempat untuk mencari pucuk paku dan menjala ikan kecil untuk dibuat lauk.

Kemudian, kami bergerak semula dan terpaksa bermalam di sebuah tempat kerana jam sudah menunjukkan pukul 6 petang.

Selepas khemah siap dipasang, hujan pula turun. Ada yang meman­cing, manakala saya langsung tidur akibat keletihan.

Suasana pagi di tapak perkhemahan kami.

Hujan lebat
Pagi keesokan harinya, selepas sarapan, kami meneruskan perjalanan. Sekali lagi kami terpaksa melalui beberapa jeram dan akhirnya kami tiba di tempat perkhemahan pada pukul 6.30 petang.

Hujan lebat turun hingga menyebabkan paras air naik ke hujung tikar alas tidur pada pukul 3 pagi.

Jadi, kami terpaksa berkemas dan memasukkan semua barangan ke dalam bot dan scanoe sambil menunggu dalam kedinginan untuk paras air turun.

Beberapa jam kemudian, air sungai masih tinggi dan tiada tanda-tanda akan surut.

Tiada langsung aktiviti pan­cingan yang boleh dilakukan dalam keadaan begini.

Jika bergerak ke Hulu Kening dalam keadaan paras air tinggi, kami tidak perlu menolak bot dan air di bahagian hulu biasanya akan lebih cepat surut dan jernih.

Jadi pagi itu, kami membuat keputusan untuk terus bergerak ke lokasi yang terletak dalam lima jam perjalanan lagi dengan menggunakan bot panjang sahaja dan scanoe ditinggalkan.

Pada 11.30 pagi, kami tiba di tapak perkhemahan di Hulu Kening.

Selepas kenyang makan tengah hari, barulah umpan dapat dilabuhkan.

Hanya ikan baung yang kami dapat menggunakan umpan cacing tanah dan ulat sagu.

Umpan seperti buah sawit, baik yang segar mahupun diperam, langsung tidak bercuit.

Berkemungkinan, keadaan paras air yang naik mendadak dan arus laju telah mematikan nafsu makan ikan tengas dan kelah, biarpun kawasan lubuk di hadapan khemah boleh dianggap tempat ikan-ikan idaman dipancing.

Rakan-rakan lain dan tekong yang rajin mengilat juga pulang ke khemah kehampaan, sememangnya situasi air sungai keruh ini banyak menjejaskan hasil tangkapan.

Sinar sebalik kelam
Dua hari terakhir, barulah ada sedikit sinar apabila keadaan air sungai semakin pulih.

Selepas sarapan, tekong bersama Jalal mudik ke hulu. Tekong sempat berpesan, dia akan pulang sebelum pukul 6 petang.

Saya hanya memancing di hadapan khemah, manakala Abuya, Yahya dan Lan ke jeram berdekatan khemah.

Hasilnya, Yahya mendapat dua ekor kejor, manakala Abuya dengan empat ekor se­luang badar serta lampam, Lan pula dengan beberapa ekor baung.

Pada pukul 5.30 petang, tekong pulang dengan hasil pancingan dua ekor kelah, seekor sebarau dua ekor kejor dan l0 ekor lampam.

Kami terpaksa membuat keputusan untuk pulang keesokan harinya kerana bekalan ais untuk simpanan ikan dan gas memasak sudah berkurangan.

Kami tidak berasa serik, malah akan datang lagi untuk projek tahun 2026 pula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN