BARU-BARU ini, saya telah memulakan perjalanan ke Ecuador untuk menyertai ‘retreat’ Young Living atas tajaan syarikat itu, sebelum menyambung ke Peru dan Brazil dengan perbelanjaan sendiri.
Kos ke rantau ini memang tinggi, tiket penerbangan dari Malaysia sekitar RM8,000, jadi perancangan awal sangat membantu. Saya menggunakan penerbangan LATAM Airlines dan JetSmart.
Saya singgah dua malam di Lima, Peru terlebih dahulu iaitu sebuah kota gastronomi yang terkenal di seluruh dunia. Setiap hidangan benar-benar meninggalkan pengalaman tersendiri.
Dari Lima, saya terbang ke Cusco dan bermalam semalam untuk proses aklimatisasi kerana ketinggian kawasan itu sangat ketara.
Sejurus mendarat, saya dapat rasa perubahan pada badan. Teh coca dan minyak pati sangat membantu, manakala ubat untuk altitud tinggi adalah pilihan bagi yang memerlukan.
Saya begitu teruja untuk menjejaki Machu Picchu, kota purba tamadun Inca yang merupakan salah satu daripada 7 New Wonders of the World. Untuk ke Machu Picchu pada waktu pagi, saya menaiki Peru Rail dari Cusco ke Aguas Calientes iaitu bandar paling hampir dengan tapak bersejarah itu.
Dari sini, pengunjung boleh berada di Machu Picchu seawal pukul 6 pagi.

Aguas Calientes juga terkenal dengan ponco dan produk baby alpaca yang berkualiti, jadi saya sarankan bawa beg tambahan jika anda suka membeli cenderamata.
Dari Aguas Calientes, pengunjung boleh memilih untuk mendaki atau menaiki bas ke pintu masuk Machu Picchu.
Tiket masuk perlu dibeli dalam talian tiga hingga empat bulan lebih awal. Jika terlupa, tiket saat akhir masih boleh dibeli di Aguas Calientes tetapi perlu beratur panjang bermula pukul 7 pagi.
Perjalanan dengan kereta api Peru selama empat jam pergi serta balik itu menawarkan pemandangan yang sangat memukau.
Machu Picchu, kota purba Inca abad ke-15 terletak pada ketinggian 2,430 meter dari aras laut. Ia merupakan destinasi paling menakjubkan yang pernah saya kunjungi.
Batu-batu gergasi tersusun tanpa mortar dengan begitu sempurna sehingga bilah pisau pun tidak boleh diselit di celahnya. Dapat lihatnya sendiri benar-benar buat saya kagum.
Walaupun para arkeologis mengiktiraf kecerdikan tamadun Inca, namun misterinya masih tersimpan. Saya pulang dengan rasa ingin belajar lebih banyak tentang sejarah mereka.

Selepas Machu Picchu, saya kemudian meneruskan pengembaraan ke Tasik Humantay. Kami bertolak sekitar pukul 4 pagi dalam cuaca yang sangat sejuk.
Perjalanan van mengambil masa tiga jam sebelum melalui jalan sempit berliku. Sekiranya ingin mendaki, ia mengambil masa 45 minit berjalan kaki, tetapi ada juga pilihan menunggang kuda. Pun begitu, kuda hanya membawa anda ke atas, manakala untuk turun perlu berjalan kaki.
Jika terlalu penat, ada penunggang tempatan yang menawarkan motosikal setelah melepasi hampir 80 peratus perjalanan turun.
Di Peru, harga makanan agak mahal tetapi hidangannya besar dan boleh dikongsi. Penginapannya pula berpatutan dan selesa.
Walaupun perjalanan ini sangat jauh, namun ia benar-benar membuka mata saya tentang bagaimana sejarah, geografi dan budaya membentuk cara manusia menghargai dunia.















