Amaran sebegini memang penjenayah takut. Kalau terserempak memang fikir hendak larikan diri sebab kalau tertangkap memang makan tak habis.
Dalam terdesak nak lari, macam-macam cara cuba dibuat. Kalau yang ada pistol dia tembak. Kalau ada senjata dia libas. Kena tak kena belakang kira asalkan boleh lari, kalau bernasib baiklah.
Namun, kebanyakannya gagal. Hampir semua kena tangkap atau mati terkena peluru polis. Kalau melawan dan lebih teruk cuba serang, bak kata orang Negeri Sembilan ‘memang pistollah makan eh.’
Jangan ingat orang pakai seragam polis ini boleh tembak sesuka hati. Mata, telinga dan gerak hati mereka sudah diajar untuk mengenal pasti penjenayah. Sekali pandang mereka tahu individu itu mencurigakan atau tak.
Cuba kita perhatikan ketika polis membuat sekatan jalan raya. Kalau pemandu atau penunggang yang tiada lesen atau cukai jalan pasti akan berhenti sebelum sekatan dan sanggup tunggu sampai polis selesai.
Penunggang motosikal pula sanggup melawan arus untuk melarikan diri asalkan tidak ditangkap dan kenderaan tidak disita.
Di sini kita boleh lihat orang takut dengan polis sebab mereka ada buat salah. Orang yang lengkap serba serbi selamba saja redah sekatan jalan sebab mereka tahu akan lepas dan boleh meneruskan perjalanan dengan yakin.
Polis itu kerjanya menjaga keamanan masyarakat. Kalau sudah tiada kepercayaan kepada polis, dengan siapa lagi?
Tidak dinafikan ada juga kes melibatkan kecuaian dilakukan pasukan keselamatan itu, tetapi kebaikan dan khidmat bakti yang diberikan kepada masyarakat dan negara melebihi segala-galanya.
Kalau tiada risikan dan Cawangan Khas, berapa banyak kawasan dan premis yang kena bom oleh pengganas. Banyak nyawa yang diselamatkan dalam diam. Pengganas dan pelampau ditangkap.
Kalau tidak percaya, tanya Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam status terbaharu di laman Facebook beliau mendedahkan bagaimana polis mengekang tindakan Kumpulan Militan Malaysia dan Jemaah Islamiah (JI) yang merancang mahu mengebom beberapa premis serta yang mungkin akan mengorbankan banyak nyawa sekiranya kegiatan mereka gagal dihidu lebih awal.
Nama-nama seperti Dr. Azahari, Nordin Mohd. Top, Abu Zulfa dan Hambali dikenal pasti sebagai pemimpin kanan JI dan wakil Al-Qaeda bagi rantau Asia Tenggara yang kemudian melarikan diri ke luar negara dan merancang beberapa serangan di Indonesia bermula Oktober 2002.
Hasilnya polis berjaya mendedahkan penglibatan 420 anggota JI dan daripada jumlah itu, 132 adalah pemimpin dan orang kanan JI yang ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (kini SOSMA).
Cukuplah ini sebagai contoh betapa pentingnya keberadaan dan tindakan pantas polis. Bersyukur kita kerana Malaysia setiap hari bebas dengan ancaman bom seperti di negara-negara lain. Kita masih boleh tidur lena, banyak makanan dan boleh mencari rezeki dengan tenang.
Kalau adapun konflik kita sibuk ‘bergaduh’ mengenai makanan tular, kehidupan artis dan sebagainya.














